Cadangan sekat Dr Akmal masuk Sabah disifatkan tidak matang

Bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Anifah Aman sebelum ini bersetuju dengan cadangan sekiranya individu yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat dilarang masuk ke Sabah.
Bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Anifah Aman sebelum ini bersetuju dengan cadangan sekiranya individu yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat dilarang masuk ke Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Cadangan meminta kerajaan negeri mengeluarkan sekatan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dari memasuki Sabah disifatkan sebagai tidak matang.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar berkata, pihak yang mencadangkan perkara itu perlu menyelidik dahulu sesuatu isu sebelum mengemukakan cadangan tidak masuk akal itu.

Katanya, kehadiran Dr Akmal pada Jumaat lalu di Sabah hanya untuk memenuhi undangan pihak tertentu dan beliau disambut mesra oleh seluruh lapisan rakyat di negeri ini.

"Rakyat Sabah dilihat sangat matang dalam mencerna isu berkaitan yang diperjuangkan oleh Dr Akmal khususnya bagi mempertahankan kalimah ALLAH daripada direndahkan darjatnya oleh pihak tertentu.

"Sekiranya mahu melarang Dr Akmal daripada memasuki Sabah dicadangkan adalah lebih baik mengeluarkan larangan terlebih dahulu mereka yang sengaja mencetuskan isu ini daripada memasuki Sabah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christopher Mandut yang turut mendakwa tidak mengalu-alukan sebarang cubaan untuk memecahbelahkan rakyat di negeri ini.

Mohd Naim yang juga Bendahari Pemuda UMNO berkata, pemimpin seperti Christopher perlu keluar dan bergaul dengan pemimpin dari latar belakang yang berbeza agar pandangan lebih meluas dan tidak mudah terpengaruh.

"Sekali lagi saya ingatkan jangan terlalu mudah untuk mengeluarkan kenyataan yang disifatkan tidak masuk akal sekali gus menyekat hak Dr Akmal memasuki Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat di Sabah sangat matang tidak akan terikut-ikut budaya politik apa lagi memecahbelahkan rakyat di negeri ini," jelas Mohd Naim.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Timbalan Pengarah II Jabatan Pilihanraya UMNO Sabah, Datuk Fadilah Sabri menegaskan bahawa tiada isu perkauman berlaku di Sabah seperti yang dibangkitkan sesetengah pihak dengan menjadikan UMNO sebagai pencetusnya yang melibatkan isu kedai serbaneka KK Mart yang kini dalam siasatan.

Menurutnya, isu boikot KK Mart merupakan pendirian Pemuda UMNO termasuk di Sabah.

"Kita berharap agar semua pihak tidak memanjangkan isu dan mengapi-apikanya kerana ia boleh merebak dan mencetuskan perbalahan kaum apatah lagi di Sabah masyarakatnya terdiri dari pelbagai kaum dan agama," katanya bagi mengulas beberapa kenyataan bekas pemimpin politik di Sabah yang cuba mengaitkan isu ini dengan UMNO dan seterusnya mengajak rakyat menolak UMNO yang dilabel parti ekstremis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!