P20 tayang kemahiran terbangkan pesawat kawalan jauh

Sebahagian Pilot P20 bersama pesawat kawalan jauh masing-masing
Sebahagian Pilot P20 bersama pesawat kawalan jauh masing-masing
A
A
A

SUASANA sekitar tenang dan sunyi di Presint 20 yang terletak bersempadan dengan Dengkil, Selangor menjadi pilihan bagi peminat pesawat kawalan jauh untuk beriadah.

Komuniti yang dikenali sebagai Pilot P20 akan menunjukkan kemahiran dalam pengendalian pesawat kawalan jauh masing-masing.

Wakil kumpulan berkenaan, Muhammad Ariff Saufi Ahmad, 24, memaklumkan seawal jam 7 pagi Ahad mereka akan berkumpul di situ bersedia untuk menerbangkan pesawat kawalan jauh.

Menceritakan penglibatan dalam hobi berkenaan, Muhammad Ariff berkata, semuanya bermula apabila dia melihat sekumpulan individu bermain pesawat kawalan jauh di padang awam ketika masih kecil.

"Setiap petang saya akan luangkan masa lihat sekumpulan orang bermain pesawat kawalan jauh di padang awam, dari situlah timbul minat yang mendorong saya memiliki 13 buah pesawat kawalan jauh termasuk helikopter pelbagai gred," kata anak kelahiran Kajang, Selangor itu.

Sejak dari itu, Muhammad Ariff berkata, dia mula membuat carian mengenai pesawat kawalan jauh.

Muhammad Ariff
Muhammad Ariff

"Saya agak beruntung kerana ayah juga menyokong hobi ini dengan membawa saya ke kedai kenalannya untuk membeli pesawat selain belajar cara menggendalikannya," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai pemilihan lokasi, Muhammad Ariff berkata, ia perlulah bersesuaian, lapang selain tidak mengganggu komuniti berhampiran.

"Di sini lapang dan tiada bangunan, jadi sesuai untuk kita terbangkan pesawat," katanya.

Menurutnya, pengendalian pesawat kawalan jauh membantu mengasah ketajaman minda pengendali selain memerlukan latihan yang berterusan.

"Apabila ia melibatkan kemahiran, sudah tentu kita perlu sentiasa bersedia untuk belajar dan mengenal setiap fungsi serta alat ganti apatah lagi dengan perkembangan dunia yang pesat," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Ariff berkata, pesawat berkapasiti antara 10 sehingga 220cc itu mampu terbang sehingga dua kilometer.

Kebiasaannya penerbangan hanya dilakukan pada jarak pandangan mata sahaja dan kawalan dilengkapi dengan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).

"Ini untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku seperti tidak menjumpai pesawat yang jatuh dan hilang serta sebagainya," katanya.

Pemeriksaan dilakukan sebelum dan selepas penerbangan bagi memastikan pesawat dalam keadaan baik.
Pemeriksaan dilakukan sebelum dan selepas penerbangan bagi memastikan pesawat dalam keadaan baik.

Tambah anak muda itu, hobi berkenaan turut menyatukan peminat pesawat kawalan jauh yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama.

"Di sini ada yang ahli muda, pesara Melayu, Cina, India dan lain-lain. Ini secara tidak langsung dapat memupuk perpaduan dalam kalangan kami," katanya.

Ditanya mengenai tanggapan umum bahawa hobi berkenaan sebagai mahal, Muhammad Ariff meminta semua pihak melihat menerusi perspektif yang lebih luas.

"Pesawat kawalan jauh ini mempunyai pelbagai gred dari permainan sehingga professional.

"Di peringkat awal, gred permainan sangat sesuai digunakan sebelum 'upgrade' mengikut kemahiran," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!