Maahad Derang perlu dana RM1.8 juta

Kompleks Syeikh Niamat Yusof apabila siap kelak bakal menyediakan beberapa kemudahan antaranya dewan kuliah, dewan utama dan dewan seminar. Gambar kecil: Abul Khair Ayub
Kompleks Syeikh Niamat Yusof apabila siap kelak bakal menyediakan beberapa kemudahan antaranya dewan kuliah, dewan utama dan dewan seminar. Gambar kecil: Abul Khair Ayub
A
A
A

POKOK SENA - Maahad Tarbiah Islamiah di Kampung Tengah Mukim Derang di sini memohon sumbangan ataupun wakaf daripada orang ramai bagi pembinaan fasa ketiga Kompleks Syeikh Niamat Yusof yang bernilai RM1.8 juta.

Mudirnya, Abul Khair Ayub berkata, sebanyak 36,000 lot wakaf ditawar kepada mereka yang mahu menyumbang dengan nilai satu lot sebanyak RM50 di pusat pendidikan itu yang lebih dikenali sebagai Maahad Derang.

Menurutnya, sumbangan orang ramai itu adalah bagi kelangsungan pendidikan Islam dan juga saham akhirat dengan tujuan membina kompleks yang menempatkan dewan kuliah, dewan utama dan dewan seminar.

Abul Khair berkata, kompleks itu juga bakal menempatkan bilik memorial, perpustakaan, bilik media, pejabat pentadbiran, koperasi dan kafetaria bagi kemudahan orang ramai serta 500 pelajar yang belajar di situ.

“Kita mula membina kompleks ini hampir tiga tahun lalu sedikit demi sedikit hasil wakaf dan sumbangan yang diberikan oleh orang ramai. Kompleks ini memang jadi keperluan dan keselesaan kepada pengurusan serta pelajar sekolah rendah dan menengah apabila siap kelak.

Pembinaan Kompleks Syeikh Niamat Yusof telah dimulakan sejak tiga tahun lalu hasil sumbangan dan wakaf orang ramai.
Pembinaan Kompleks Syeikh Niamat Yusof telah dimulakan sejak tiga tahun lalu hasil sumbangan dan wakaf orang ramai.

“Selama ini pengurusan dan guru-guru menumpang di kelas-kelas di bangunan lama yang dijadikan pejabat. Kita sangat berharap dengan kehadiran Ramadan dan Aidilfitri tahun ini akan lebih ramai menyumbang atau mewakafkan lot bagi mempercepatkan pembinaan kompleks ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Abul Khair yang merupakan alumni dan pelajar generasi pertama di maahad tersebut berkata, pelajar yang belajar pendidikan Islam di situ hadir dari seluruh negara termasuk Thailand.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, disebabkan mempunyai kelas yang terhad, pengurusan tidak mampu mengambil pelajar yang lebih ramai kerana tidak mahu menganggu pembelajaran dan fokus pelajar yang sedia ada.

“Maahad ini juga menyediakan kelas kepada orang awam yang dikenali sebagai Kelas umumi. Kelas ini diadakan pada isnin hingga rabu untuk warga yang telah bersara atau tidak bekerja dari jam 9 pagi hingga 11 pagi.

“Pembelajaran ini diadakan di dewan di bangunan lama. Jika kompleks sudah siap semua pembelajaran bagi pelajar dan orang awam boleh diadakan di ruang yang lebih selesa,” ujar beliau lagi.

Maahad ini diasaskan sejak tahun 1980 lalu oleh tokoh agamawan iaitu Allahyarham Syeikh Niamat Yusof atas hasrat untuk membangunkan kembali keperibadian Islam dalam diri anak-anak didik yang bakal mewarisi kedudukan umat generasi akan datang.

Bagi mereka yang mahu menyumbangkan sumbangan ataupun wakaf bagi menyiapkan pembinaan fasa ketiga Kompleks Syeikh Niamat Yusof boleh menghubungi 016-4591254 (Ustaz Abu Khair) bagi sebarang pertanyaan ataupun menyalurkan ke akaun Bank Islam (020-110100-1702-8) atas nama Maahad Tarbiah Islamiah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!