Warga emas hilang ditemui meninggal dunia

Motosikal beroda tiga dinaiki warga emas itu dijumpai di kawasan berhampiran ECRL di Kampung Banggol Katong. Foto: Polis Kuala Terengganu
Motosikal beroda tiga dinaiki warga emas itu dijumpai di kawasan berhampiran ECRL di Kampung Banggol Katong. Foto: Polis Kuala Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak keluar dari rumahnya dengan menaiki motosikal beroda pada Sabtu lepas ditemukan meninggal dunia di Kampung Banggol Katong di sini.

Mayat Mohamad Ngah, 67, ditemui penduduk kampung pada jam 9.45 pagi berhampiran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Banggol Katong di sini.

Menurut anak sulung mangsa, Nurul Izzah Mohamad, 33, berkata, arwah bapanya itu menunjukkan perubahan sikap sebelum hilang beberapa hari lepas antaranya sentiasa mendiamkan diri dan kerap lupa tentang sesuatu perkara.

"Tak ada kata-kata terakhir cuma arwah ayah menunjukkan perangai agak pelik dua tiga hari sebelum hilang. Arwah ayah tak banyak bercakap selain banyak benda dia sudah lupa.

"Untuk sambutan hari raya ini juga arwah ayah beritahu memang tak nak beli baju raya sebab arwah cakap baju dah banyak.

"Sepatutnya kami sekeluarga beraya bersama-sama di Kampung Baharu Serada, namun ALLAH lebih menyayangi ayah.

"Saya sangat sedih (pemergian ayah) dan sudah tentu sambutan Aidilfitri pada tahun ini sangat berbeza tanpa kehadiran ayah. Saya reda dan menganggap apa yang berlaku sudah ditakdirkan Ilahi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas hilang selepas keluar rumah naik motosikal roda tiga

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad lepas, media melaporkan seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang sejak keluar dari rumahnya kira-kira jam 8 pagi Sabtu.

Mohamad Ngah, 67, dari Kampung Baru Serada yang bekerja sebagai penjual ikan dan sayur-sayuran keluar dari rumahnya pagi Sabtu dengan menaiki motosikal beroda tiga jenis EX5 berwarna merah bernombor pendaftaran TAV 9836 tanpa membawa beg duit, telefon bimbit mahupun memakai helmet.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata jenazah arwah bapanya itu dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baharu Serada selepas solat Asar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan laporan kejadian tersebut.

"Kita menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat warga emas itu pada jam kira-kira 10.15 pagi tadi di kawasan berhampiran ECRL.di Kampung Banggol Katong.

"Proses pengecaman telah dibuat oleh keluarga mangsa dan mayat yang dijumpai itu disahkan sebagai Mohamad oleh anak mangsa sendiri," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28