JB sesak, orang Singapura beraya sakan

Kesesakan lalu lintas akibat pertambahan kenderaan dari Singapura menjelang Aidilfitri menjadi masalah kepada penduduk Johor Bahru. Gambar hiasan 123RF
Kesesakan lalu lintas akibat pertambahan kenderaan dari Singapura menjelang Aidilfitri menjadi masalah kepada penduduk Johor Bahru. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

PEJAM celik pejam celik, esok umat Islam di negara ini dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas 29 hari berpuasa dalam bulan Ramadan.

Kelihatan masih ramai yang sibuk membuat persiapan raya di saat-saat akhir, tidak terkecuali di bandar raya Johor Bahru yang saban tahun pastinya menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah sama ada baju raya, kuih raya atau kelengkapan lain.

Cuma yang uniknya di Johor Bahru ialah kehadiran warga Singapura seakan-akan satu trend setiap kali menjelang musim perayaan, seolah-olah bandar raya ini sebagai ‘syurga’ membeli-belah bagi mereka.

Tidak dinafikan Johor Bahru mempunyai pakej lengkap sebagai lokasi membeli persiapan Aidilfitri.

Antara kawasan menjadi tumpuan pelancong dari republik itu ialah bazar Ramadan, Pasar Borong Pandan, Plaza Angsana, Pasar Awam Larkin serta pusat beli-belah di sekitar bandar raya Johor Bahru.

Nilai ringgit yang kecil berbanding dolar Singapura antara sebab mereka sanggup menyeberang tambak untuk berbelanja besar di Johor.

Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, kebanjiran warga Singapura berbelanja raya di Johor memberikan impak positif terhadap ekonomi dan sektor pelancongan di negara ini, terutama selepas pulih daripada pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, kesesakan lalu lintas akibat pertambahan kenderaan dari Singapura menjelang Aidilfitri menjadi masalah kepada penduduk Johor Bahru.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan rekod kemasukan dan jangkaan jumlah kenderaan dari Singapura ke Malaysia, ia menunjukkan peningkatan saban tahun terutama selepas pandemik Covid-19.

Pada tahun lalu, kira-kira dua juta kenderaan memasuki Johor termasuk menerusi laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) sempena Aidilfitri.

Kesesakan juga berlaku di pintu masuk negara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

Situasi yang sama berlaku pada Tahun Baharu Cina pada Februari lalu apabila lebih 400,000 pengembara memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Linkedua.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, pada Januari lalu, seramai 5.2 juta pengembara memasuki negara ini melalui BSI dan KSAB dengan purata harian seramai kira-kira 170,000 orang sehari. Isu kesesakan di Tambak Johor turut mendapat perhatian serius Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau kecewa apabila terdapat 13 kaunter di laluan kereta di laluan tersebut tidak dibuka kepada orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan pada 24 Mac lalu.

Ujar beliau, perkembangan pengoperasian pintu sempadan negara di CIQ dilihat masih belum berada pada tahap kecekapan yang penuh.

Isu Tambak Johor yang sesak seterusnya dipersembahkan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menerima menghadap Onn Hafiz bagi membincangkan isu terkini termasuk operasi imigresen dan pemprosesan trafik harian.

Kerajaan negeri Johor dan Persekutuan terus berusaha memastikan masalah kesesakan Tambak Johor di Johor Bahru dan Linkedua yang sudah berlarutan sejak berpuluh tahun lamanya dapat diselesaikan segera.

Dalam pada itu, selain kesesakan luar biasa di dua pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura, peningkatan kenderaan yang memasuki negeri ini turut meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan bertimbang rasa di atas jalan raya agar tidak berlaku tragedi tidak diingini.

Begitu juga bagi penduduk di Johor Bahru, mereka perlu merancang perjalanan sekiranya mahu keluar membeli-belah supaya tidak tersangkut dalam kesesakan jalan raya pula nanti.

* Nor Azura Md Amin ialah Ketua Biro Sinar Harian Johor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!