Senarai calon PH diserah dalam masa terdekat - Sze Han

Sze Han
Sze Han
A
A
A

SHAH ALAM - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan diputuskan dalam masa terdekat.

Pengarah PRK Kuala Kubu Baharu, Ng Sze Han berkata, senarai calon tersebut akan dihantar ke pucuk pimpinan DAP seterusnya ke PH pusat untuk dimuktamadkan.

Menurutnya, fokus utama PH di Kuala Kubu Bharu adalah untuk meneruskan kesinambungan perjuangan mendiang Lee Kee Hiong yang telah lama berkhidmat di DUN berkenaan.

"Peranan dan pendekatan mendiang telah diterima baik dan selesa di segenap lapisan masyarakat di kawasan ini tanpa mengenal latar belakang dan ideologi, selari dengan semangat dan perjuangan DAP.

"DAP Selangor komited untuk meneruskan perkhidmatan kepada rakyat Kuala Kubu Bharu dengan dukungan penuh Kerajaan Perpaduan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Setiausaha PH Selangor, Dr Mohd Khairuddin Othman mengumumkan PH melantik Sze Han sebagai Pengarah PRK Kuala Kubu Baharu yang bakal berlangsung pada 11 Mei 2024.

Keputusan tersebut antara beberapa ketetapan yang telah diambil menerusi pertemuan diadakan pada Ahad.

Dalam pada itu, Sze Han yang juga Setiausaha DAP Selangor turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan PH Selangor dan DAP yang memberikan kepercayaan kepadanya menjalankan amanah mengetuai jentera PRK tersebut.

Artikel Berkaitan:

PRK diadakan berikutan kematian Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu selepas beberapa tahun bertarung melawan kanser.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28