Warisan nafi dakwaan 2,000 ahli keluar parti

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) menafikan dakwaan lebih 2,000 ahli daripada 38 cawangan di Kudat telah meninggalkan parti itu.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S Padua Jr berkata, pihaknya menyangkal mengenai dakwaan yang dilakukan oleh beberapa bekas ahli Warisan Bahagian Kudat.

"Saya telah mendapatkan pengesahan daripada Ketua Bahagian dan Setiausaha Bahagian Warisan Kudat.

"Berdasarkan semakan yang dibuat, dakwaan tersebut tidak dapat disahkan dan tidak menggambarkan kedudukan sebenar keahlian serta organisasi parti di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, dakwaan melibatkan 2,000 ahli dan 38 cawangan bukanlah perkara kecil.

"Mereka yang membuat dakwaan tersebut bertanggungjawab mengemukakan bukti yang jelas, termasuk senarai ahli dan cawangan yang dikatakan telah meninggalkan parti.

"Malah, berdasarkan maklumat yang diterima, mesyuarat cawangan yang diadakan baru-baru ini oleh pihak berkenaan gagal menghimpunkan 50 orang ahli.

"Keadaan ini menimbulkan persoalan munasabah mengenai asas dakwaan bahawa mereka mendapat sokongan sehingga 2,000 ahli," katanya.

Tambahnya, Warisan menghormati hak mana-mana individu untuk meninggalkan parti dan menentukan haluan politik masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Namun, keputusan tersebut tidak memberikan hak kepada sesiapa untuk membuat dakwaan yang tidak disokong bukti sehingga boleh mengelirukan masyarakat," katanya.

Sebelum ini terdapat video berdurasi 51 saat memaparkan sekumpulan individu yang mendakwa sebagai 38 Ketua Cawangan Warisan mengumumkan keluar parti bersama 2,116 ahli parti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!