PRK Kuala Kubu Baharu: Wanita DAP punyai beberapa calon

Nie Ching. Foto Bernama
Nie Ching. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wanita DAP mempunyai beberapa nama untuk diketengahkan sebagai calon mewakili Pakatan Harapan (PH), pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor, 11 Mei ini.

Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching bagaimanapun berkata, keputusan akhir mengenai calon tersebut, hanya akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti selepas mengadakan perbincangan dengan DAP Selangor.

"Perbincangan ini akan melibatkan Setiausaha Agung (Anthony Loke), Pengerusi (Lim Guan Eng), Timbalan Pengerusi (Gobind Singh Deo) dan dua lagi Naib Pengerusi iaitu M Kulasegaran dan Nga Kor Ming bersama DAP Selangor,” katanya.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan pek berbuka puasa kepada petugas Jabatan Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Bernama TV, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi menyeru supaya kempen PRK dijalankan secara berhemah dan tidak menyentuh isu sensitif yang berkaitan 3R (bangsa, agama dan raja).

"Walaupun terdapat banyak perbezaan, biarlah kita ada satu perbahasan (ceramah) yang rasional dan membina.

"Jangan kita menyentuh isu 3R untuk mengapi-apikan sesama sendiri, kerana akhirnya kita perlu ingat bahawa identiti pertama kita ialah warga Malaysia,” katanya.

Pada Khamis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menetapkan hari tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Artikel Berkaitan:

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong, susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac.

Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.

PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!