Syasya undur diri daripada Dolla

Syasya (duduk, depan) berundur atas sebab peribadi.
Syasya (duduk, depan) berundur atas sebab peribadi.
A
A
A

SYARIKAT rakaman Universal Music Malaysia mengumumkan pengunduran salah seorang anggota kumpulan M-pop, Dolla iaitu Syasya pada Isnin.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, Syasya atau nama sebenar Noor Syasya Afiqah Shahrizal, 23, membuat keputusan tersebut atas sebab peribadi.

“Walaupun berasa berat hati menerima keputusan Syasya, pihak kami tetap menghormati pendirian beliau dan sentiasa mengharapkan yang terbaik buat Syasya.

"Sementara itu, tiga lagi ahli kumpulan Dolla iaitu Angel, Sabronzo dan Tabby akan meneruskan perjuangan seni buat peminat di dalam dan luar negara.

"Malah, tahun ini pihak Universal Music Malaysia telah membuat pelbagai perancangan untuk memastikan kumpulan ini menempah nama di persada muzik Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Tabby atau nama sebenarnya Tabitha Ariel Lam Lianne turut berduka dengan keputusan rakan baiknya itu, tetapi sepakat untuk memberi sokongan penuh.

"Tentulah kami berasa sedih dengan perkembangan ini, tapi kami sudah sepakat akan memberikan sokongan penuh kepada Syasya walau apa jua keputusan beliau.

"Hubungan kami sangat erat dan kami tetap anggap Syasya sebagai keluarga Dolla. Persahabatan yang dibina selama ini tidak akan terputus begitu saja," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dolla yang ditubuhkan pada tahun 2019, mula mencuri perhatian peminat muzik tempatan dengan single pertama mereka DOLLA Make You Wanna yang dilancarkan pada 20 March 2020.

Sehingga kini, kumpulan itu telah mengeluarkan enam single solo, termasuk hits seperti Impikan, BAD, dan satu album penuh berjudul New Classic pada November 2023.

Kumpulan yang turut dianggotai oleh Angel, Sabronzo dan Tabby ini pernah merangkul anugerah Top Meletop Kumpulan/Duo di Anugerah Meletop Era 2021, selain dinobatkan sebagai Kolaborasi/Artis Berkumpulan Popular di Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) tahun 2022 serta Lagu Trending Tergempak dan Video Muzik Tergempak di Gempak Most Wanted Awards 2023.

Baru-baru ini, Dolla telah dipilih mewakili Malaysia dalam satu rancangan baharu di China, Show It All yang menampilkan Lay Zhang, ahli kumpulan EXO sebagai penerbit eksekutif.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28