Mancini selar pemain tarik diri daripada skuad Piala Asia

Roberto Mancini. Foto AFP
Roberto Mancini. Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Arab Saudi, Roberto Mancini mengkritik pemain yang meninggalkan kem kebangsaan Green Falcons menjelang kempen Piala Asia 2023 hanya kerana berpotensi kurang minit permainan.

Sebaliknya bekas pengendali Itali itu berkata, dia hanya mahu pemain-pemain bersedia untuk berebut kesebelasan utama pasukan tersebut bagi temasya terbesar bola sepak Asia berkenaan.

Penjaga gol Nawaf Al-Aqidi, pemain tengah Salman Al-Faraj dan pertahanan Sultan Al-Ghannam sebelum ini diketepikan Mancini menjelang kejohanan benua di Qatar, selepas bekas pengendali Manchester City itu menyenaraikan mereka dalam senarai awal pemain yang dipanggil.

“Mereka ada dalam senarai. Salman memberitahu dia tidak mahu bermain dalam perlawanan persahabatan itu. Saya bertanya kepada Sultan jika dia gembira bermain dan dia beritahu tidak gembira.

“Pemain tidak berhak memutuskan sama ada mereka bermain atau tidak, saya yang tentukan. Nawaf memberitahu dia akan datang tetapi lusa, di Riyadh, dia berkata dia tidak mahu datang.

“Tiga hari lalu dia pergi kepada jurulatih penjaga gol kami dan berkata ‘saya tidak mahu kekal di sini jika saya tidak dapat bermain'. Di sini, saya hanya mahu pemain yang berjuang untuk negara mereka,” kata Mancini kepada pemberita menjelang perlawanan pembukaan kumpulan menentang Oman di Stadium Khalifa International, awal pagi Rabu.

Mancini, yang mempunyai karier cemerlang sebagai pengendali dengan trofi dalam bola sepak kelab serta Euro bersama Itali pada 2021 mengakui terkejut apabila dia tidak pernah melihat pemain menarik diri daripada pasukan kebangsaan sebelum ini.

“Saya tidak faham apabila pemain muda enggan datang kerana dia tidak tahu sama ada akan bermain atau tidak. Pasukan kebangsaan bukan kelab, ia adalah negara anda. Anda mewakili semua orang di negara anda.

Artikel Berkaitan:

“Anda sepatutnya gembira jika anda sebahagian daripada kumpulan ini. Ini adalah situasi yang sangat pelik dan ini kali pertama saya mengalaminya...Tetapi kami telah menemui pemain lain untuk bermain,” ujar Mancini.

Sebagai rekod, anak buah Mancini merupakan pasukan yang tidak berpengalaman seperti skuad yang mengejutkan Argentina di peringkat kumpulan Piala Dunia 2022, manakala Oman pula diperkuatkan pemain-pemain yang mempunyai penampilan di peringkat antarabangsa.

“Kami mempunyai dua minggu ini untuk bekerja dengan pemain. Kami tahu semua pemain dari Oman bermain secara kerap dalam liga dan mereka mungkin lebih kuat.

“Tetapi kami gembira dengan pemain yang kami ada, mereka mahu berjuang untuk negara mereka.

"Oman mempunyai penyerang dan pemain tengah yang bagus, mereka sangat berbahaya dalam serangan. Atas sebab ini menentang Oman akan menjadi perlawanan yang sukar,” kata Mancini.