500 peserta dari 9 negara sahut cabaran M8 Pushbike Malaysia

Penganjuran kali ini berjaya menarik penyertaan 500 peserta dari sembilan negara yang akan berentap selama dua hari pada 4 dan 5 Mei ini selepas edisi 2023 sebelum ini.
Penganjuran kali ini berjaya menarik penyertaan 500 peserta dari sembilan negara yang akan berentap selama dua hari pada 4 dan 5 Mei ini selepas edisi 2023 sebelum ini.
A
A
A

KEJOHANAN Antarabangsa M8 Pushbike Malaysia berjaya menarik 500 penyertaan dari sembilan negara untuk merebut kejuaraan berprestij menjelang penganjuran yang akan berlangsung 4 dan 5 Mei ini.

Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli berkata, matlamat kejohanan tersebut adalah bagi melahirkan pelumba-pelumba cilik bertaraf antarabangsa.

Menurutnya, penganjuran kali ini memberikan kejutan tersendiri kerana dapat menarik penyertaan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina, China, Jepun dan Amerika Syarikat.

“Apabila pendaftaran dibuka, dalam tempoh lima jam sahaja, lebih 100 permohonan dari luar negara kami terima.

"Sehingga kini sudah 250 peserta luar negara sudah mengesahkan penyertaan.

“Untuk kualiti terbaik penganjuran, kami terpaksa hadkan jumlah pesera luar negara kerana faktor masa dan tempat selain memberi peluang kepada pelumba tempatan untuk sama-sama menyertai pertandingan ini,” ujarnya.

Acara tahunan tersebut yang bakal menggegarkan Pusat Latihan M8, Kajang mencatatkan penyertaan terbanyak dari Indonesia dengan pendaftaran seramai 100 peserta.

Tambah Wan Mohd Muzri, perlumbaan pushbike bertaraf antarabangsa tersebut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini, kejohanan tersebut telah mendapat sokongan Kementerian Pelancongan. Tahun ini, pastinya lebih hebat. Terima kasih kepada kementerian yang terus memberi kepercayaan kepada M8.

“Kami berharap dalam penganjuran kali ini, pihak kementerian akan dapat memberi sokongan penuh sekali lagi kepada kami selaku penganjur.

“Dalam masa sama, kami berharap penganjuran ini dapat membantu melahirkan atlet cilik terbaik dan juga menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia seterusnya mempertingkatkan ekonomi setempat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau mengakui penganjuran kali ini agak mencabar terutama dari segi penyeliaan dan penyediaan trek laluan perlumbaan yang memberi persaingan sengit serta menguji kepantasan setiap peserta.

“Memasuki tahun kelima penganjuran di peringkat antarabangsa, pastinya kami memerlukan persediaan yang lebih rapi dan dinamik.

"Kali ini lebih mencabar dari segi tempat tetapi memberi impak yang menarik,” katanya.

Sementara itu, Wan Mohd Muzri berharap melalui pertandingan tersebut, Malaysia dapat menjadi hub pertandingan pushbike terbaik di Asia, sekali gus dapat melahirkan atlet cilik yang berwibawa dan seterusnya menjadikan Malaysia tumpuan dunia.

“Penganjuran ini bukan sahaja di peringkat pushbike pada usia dua hingga sembilan tahun. Tetapi dengan lahirnya yang berbakat dapat memberi peluang ke peringkat lebih baik melalui perancangan dari M8 bersama rakan kerjasama.

“M8 bakal bekerjasama tahun ini bersama ZK Racing dan SIC Racing dgn penganjuran bersama pushbike dengan sukan lumba motor iaitu FIM MiniGP Malaysia dan SIC Ohvale Junior Championship.

“Malaysia juga bakal mempertaruhkan bakat hebat lain antaranya Maleeq Dragster yang akan berlumba untuk kategori lima tahun. Diharapkan agar Maleeq mampu mempertahankan kejuaraannya dalam kejohanan sebelum ini,” kongsinya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28