Roy Keane anggap ten Hag mabuk todi

Keane (kiri) menempelak persembahan buruk United di Old Trafford. Gambar kecil: ten Hag. Foto Agensi
Keane (kiri) menempelak persembahan buruk United di Old Trafford. Gambar kecil: ten Hag. Foto Agensi
A
A
A

ROY Keane secara sinis menyindir Erik ten Hag berada di bawah pengaruh alkohol selepas pengendali dari Belanda itu memberikan reaksi positif di atas persembahan buruk Manchester United ketika melayan kunjungan Liverpool di laman sendiri, malam tadi.

Pertembungan di Old Trafford itu menyaksikan United berputih mata apabila diikat 2-2, biar pun di ambang kemenangan selepas bangkit mendahului Liverpool 2-1 di babak kedua permainan.

Keputusan seri tidak membantu melonjakkan kedudukan United dalam kedudukan Liga Perdana Inggeris (EPL), sebaliknya mereka terus ketinggalan 11 mata di belakang pasukan tempat keempat, Tottenham Hotspur dan Aston Villa di tangga kelima yang berkongsi 60 mata.

Dengan berbaki tujuh perlawanan, peluang United memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara sudah tertutup selain tiada pembabitan dalam kempen Liga Europa musim depan sekiranya menamatkan saingan EPL di tangga keenam.

Mengulas reaksi positif ten Hag, Keane yang bermain untuk United dari 1994 hingga 2005 tidak menyembunyikan kemarahannya.

"Nampaknya dia (ten Hag) seperi baru selesai meneguk arak, macam orang mabuk!

"Persembahan United seperti kelab kerdil. Apa yang positifnya?

"Saya juga tidak nampak sebarang peningkatan dalam permainan mereka," ujar Keane.

Artikel Berkaitan:

Statistik separuh masa pertama menyaksikan United gagal melakukan walau satu percubaan ke arah gol.

Catatan itu bermakna ia kali pertama United gagal melakukan sebarang percubaan ke arah gol pada babak pertama perlawanan sejak April 2022 - juga menentang Liverpool.

Peminat United menggunakan media sosial melahirkan rasa tidak puas hati terhadap ten Hag yang dilihat gagal berusaha mengubah arus perlawanan.

Liverpool mendominasi majoriti perlawanan itu dengan mendahului 1-0 menerusi jaringan voli menarik Luiz Diaz di pertengahan babak pertama.

Namun The Reds memerlukan penalti Mohamed Salah enam minit sebelum tamat untuk mengelak kekalahan selepas jaringan menakjubkan daripada Bruno Fernandes dan Kobbie Mainoo.

Keputusan seri itu menyebabkan Liverpool ketinggalan di belakang pendahulu Arsenal menerusi perbezaan jaringan dan hanya satu mata di depan Manchester City dengan berbaki tujuh perlawanan dalam persaingan memburu kejuaraan paling sengit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!