Tiga cadangan kawal kebakaran belukar di Pahang - ADUN Beserah

Andansura ke lokasi kebakaran di Gebeng bagi melihat usaha pemadaman dan kawalan yang dilaksanakan oleh anggota dari BBP Gebeng.
Andansura ke lokasi kebakaran di Gebeng bagi melihat usaha pemadaman dan kawalan yang dilaksanakan oleh anggota dari BBP Gebeng.
A
A
A

KUANTAN - Tiga cadangan pelan jangka panjang dirangka kepada pihak berkuasa bagi mengatasi kebakaran terbuka di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, antara cadangan tersebut ialah kaedah menjatuhkan air dari udara sebagai salah satu usaha menangani masalah tersebut.

Katanya, saranan berkenaan adalah langkah sokongan kepada usaha sedang dijalankan pasukan bomba yang sukar menghampiri lokasi tertentu dan menghadapi masalah bekalan air.

"Langkah ini dipercayai boleh menghentikan kebakaran gambut dari merebak dan mencetuskan kebakaran baru.

"Yang kedua pula ialah bantuan jentera dan peralatan di mana sebagai contoh syarikat pemilik jentera-jentera boleh digembleng untuk membantu mengawal kebakaran seperti mengorek parit pemisah api atau lain-lain langkah yang berkesan," katanya pada Isnin.

Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang turut menjelaskan faktor seperti permukaan tanah gambut, kawasan yang agak luas, cuaca panas dan ketiadaan bekalan air menyebabkan api mudah merebak serta usaha kawalan sukar dilaksanakan.

Asap masih kelihatan selepas kerja- kerja pemadaman api di kawasan belukar di Gebeng selesai.
Asap masih kelihatan selepas kerja- kerja pemadaman api di kawasan belukar di Gebeng selesai.

Justeru, katanya, pembenihan awan juga antara cadangan yang boleh dilakukan piahk terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Saya berpendapat pembenihan awan boleh diusahakan untuk membantu mengawal kebakaran ini. Saya yakin curahan hujan boleh memadam bara-bara api di tanah gambut," kata beliau lagi.

Selain itu, Andansura juga menyeru supaya pihak pentadbir masjid dan surau melaksanakan solat sunat istisqa memohon kepada ALLAH agar diturunkan hujan.

Katanya, pihak berkuasa agama mungkin boleh mengambil inisiatif menggerakkan usaha ini.

"Masjid dan surau di daerah Pekan umpamanya (boleh) mengadakan solat istisqa memohon pertolongan ALLAH agar diturunkan hujan untuk menaikkan paras air Sungai Pahang sebagaimana titah saranan Sultan Pahang.

"Saya sanjung tinggi kerja keras para anggota bomba memadam dan mengawal kebakaran yang berlaku," katanya.

Beliau sebelum itu turun ke lokasi kebakaran di Gebeng bagi melihat usaha pemadaman dan kawalan yang dilaksanakan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng.

Menurutnya, kesan kebakaran itu agak ketara khususnya kepada pencemaran udara.

"Sehingga pagi ini asap jelas kelihatan di kawasan awam sekitar Gebeng, Balok dan Sungai Ular. Malah asap dan bau dilaporkan sampai ke Cherating.

"Para pekerja industri di Gebeng melaporkan asap semakin tebal. Keadaan ini boleh mengganggu aktiviti penduduk selain boleh mengancam kesihatan," ujarnya yang memaklumkan kebakaran belukar di Gebeng berlaku sejak minggu pertama Ramadan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!