Pesara tentera terap disiplin, sabar urus perniagaan

Shaharudin (kanan) bersama pelanggan yang menyertai pakej pelancongan ditawarkan oleh syarikatnya, jomcutidotcom.
Shaharudin (kanan) bersama pelanggan yang menyertai pakej pelancongan ditawarkan oleh syarikatnya, jomcutidotcom.
A
A
A

TEMERLOH - Bermula dengan menyertai pakej umrah yang diuruskan oleh anak saudara membawa seorang pesara tentera menceburi dunia keusahawanan sebagai pengusaha pakej pelancongan dalam talian.

Shaharudin Bakar, 55, dari Taman Temerloh Jaya tidak menyangka saat menunaikan umrah pada 2022 menjadi detik permulaan buat dirinya mengasaskan jomcutidotcom setahun kemudian yang turut menjalinkan kolaborasi dengan dua syarikat lain.

Menurutnya, sebaik sahaja bersara pada 2010, dia melakukan banyak pekerjaan, antaranya bertugas dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan sebelum berhasrat menunaikan umrah.

“Dari situ saya didedahkan dengan banyak maklumat kerana anak saudara juga pengusaha agensi pelancongan.

Pelanggan-pelanggan yang mengambil pakej pelancongan jomcutidotcom mengabadikan kenangan di lokasi percutian.
Pelanggan-pelanggan yang mengambil pakej pelancongan jomcutidotcom mengabadikan kenangan di lokasi percutian.

“Saya kemudiannya belajar dan turut terlibat menjual pakej pelancongan serta bergelar pembantu mutawif hingga kini,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas anak jati Pahang kelahiran Bentong itu, selepas meraih banyak pengalaman, dia yang mesra dengan panggilan Pak Su memberanikan diri menceburi bidang tersebut.

“Saya mulakan dengan jual pakej pelancongan ke Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah; Medan, Indonesia dan Hatyai, Thailand, selain pakej umrah.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini sambutan yang diterima menggalakkan dan pelanggan kami pula daripada seluruh negara,” katanya.

Menurut Shaharudin, pakej ke Hatyai menggunakan bas antara pakej mendapat sambutan memberangsangkan, antara lain kerana faktor makanan dan kos murah menyebabkan lokasi tersebut popular, sekali gus menjadi pilihan rakyat Malaysia.

“Beberapa perjalanan ke lokasi bandar popular di Thailand telah dilakukan sepanjang tahun lalu dan terkini pada November lalu.

“Selain melancong, pada masa sama kita turut mendidik pelanggan agar menghayati dan menghargai budaya orang lain.

“Bila berjalan-jalan janganlah fikir nak seronok semata-mata atau membeli-belah, sebaliknya hayati juga cara hidup, hormati budaya mereka dan tahu perbezaan antara kita serta masyarakat luar,” katanya.

PENGALAMAN

Ditanya insiden mencabar sepanjang menceburi perniagaan tersebut, Shaharudin berkongsi pengalaman menguruskan seorang pelanggan yang mengalami sakit batu karang dalam hempedu ketika melancong.

“Pelanggan tersebut rupa-rupanya tidak mengambil insurans pelancongan dan pengalaman menguruskan situasi itu banyak memberikan ilmu baharu serta panduan jika berlaku situasi sama pada masa akan datang.

“Selain itu saya juga perlu berdepan dengan pelbagai ragam dan kerenah pelanggan, misalnya ada yang tak ikut jadual masa ditetapkan,” katanya.

Masjid antara lokasi yang dilawati dalam pakej pelancongan ditawarkan oleh Shaharudin.
Masjid antara lokasi yang dilawati dalam pakej pelancongan ditawarkan oleh Shaharudin.

Dalam pada itu, Shaharudin mengakui bergelumang dalam dunia ketenteraan selama 21 tahun sebelum ini banyak membantu dirinya menguruskan perniagaan tersebut yang kini memiliki tiga kakitangan.

Menurutnya, elemen disiplin diterapkan banyak membantunya dalam dunia perniagaan yang pastinya banyak persaingan.

“Untuk bersaing dan memberikan khidmat terbaik, disiplin sangat penting kerana tanpa elemen ini, ia boleh menghalang kita untuk berjaya.

“Nasihat saya kepada mereka yang mahu menceburi bidang ini, selain disiplin, kesabaran juga sangat penting kerana setiap hari kita akan berdepan dengan pelbagai perangai pelanggan,” kata bapa kepada empat cahaya mata ini yang bersara dengan pangkat terakhir sebagai Pegawai Waran II di Kem Penrissen, Kuching, Sarawak.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28