43,000 rakyat Kelantan bekerja sendiri digalak carum SKSPS

Nora menunjukkan risalah mengenai faedah yang diterima pencarum jika mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
Nora menunjukkan risalah mengenai faedah yang diterima pencarum jika mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 43,000 rakyat di negeri ini yang bekerja sendiri digalakkan mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang diperluaskan sejak 1 Januari lalu.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Nora Yaacob berkata, sebagai permulaan skim tersebut diwajibkan dalam sektor pengangkutan penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas.

"Skim di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 itu dikuatkuasakan sejak 1 Jun 2017, namun mulai 1 Januari tahun ini, SKSPS diperluas kepada 19 sektor lain antaranya pengangkutan barangan dan makanan, pertanian dan penternakan.

"Selain itu turut tersenarai sektor perhutanan, perikanan, makanan, pembuatan, pembinaan, penjaja, premis penginapan dan perniagaan dalam talian," katanya selepas majlis menyerahkan khairat kematian kepada balu pencarum, Allahyarham Mohamad Izuan Ibrahim di Kampung Banggol di sini semalam.

Menurutnya, selain daripada sektor-sektor tersebut, turut tersenarai ialah perkhidmatan profesional, perkhidmatan sokongan, kesenian, perkhidmatan isi rumah dan penjagaan perawatan dan pemulihan kesihatan.

"Antara faedah yang akan diperoleh pencarum ialah perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat dan pemulihan jasmani atau vokasional dan faedah pendidikan.

"Apa yang penting, ia semurah RM13.10 sahaja sebulan. Memang sangat murah tapi manfaatnya memang cukup besar kepada masyarakat. Kelayakan pencarum juga sangat mudah iaitu Warganegara Malaysia tanpa mengira had umur dan yang pastinya menjalankan perniagaan sendiri untuk mencari nafkah," katanya.

Katanya, pembayaran caruman boleh dilakukan berdasarkan bulanan atau tahunan melalui pejabat Perkeso ataupun secara dalam talian iaitu matrix.perkeso.gov.my.

Artikel Berkaitan:

"Kita dalam proses untuk mempromosikan skim tersebut di seluruh negeri," katanya.