Kenderaan berat dilarang berada di jalan raya mulai tengah malam ini

Lokman ketika ditemui pemberita sempena Operasi Bersepadu Motosikal Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di Bandar Meru Raya, pada Ahad.
Lokman ketika ditemui pemberita sempena Operasi Bersepadu Motosikal Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di Bandar Meru Raya, pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Semua jenis kenderaan barangan dilarang untuk berada di atas jalan raya mulai tengah malam ini bagi tempoh 8 dan 9 April serta 13 dan 14 April sempena Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Kanan Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, larangan tersebut dikuatkuasakan mulai jam 12.01 tengah malam ini dalam usaha untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

Menurutnya, tarikh tersebut merupakan dua hari sebelum dan dua hari selepas Hari Raya Aidilfitri bagi mengurangkan kesesakan jalan raya sempena musim perayaan itu.

"Ini dilakukan bagi memastikan kelancaran trafik yang mana jumlah kenderaan dijangka bertambah sehingga dua juta kenderaan berada di jalan raya.

"Jadi, untuk melancarkan perjalanan pergi dan balik, perintah larangan ini adalah untuk memberikan sedikit keselesaan kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya kepada pemberita sempena Operasi Bersepadu Motosikal Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di Bandar Meru Raya, di sini pada Ahad.

Hadir sama dalam operasi tersebut, Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusof Abustan.

Lokman berkata, terdapat tiga kategori kenderaan yang terlibat dalam larangan pemanduan iaitu Kategori 1 iaitu larangan pergerakan sepanjang masa melibatkan kenderaan lori pengangkut kereta, lori balak, jentera berat beroda, lori pengangkut simen, besi keluli, batu, pasir, tanah, bahan binaan lain, amang, bijih timah, arang batu dan bahan galian lain.

Menurutnya, bagi Kategori 2 pula melibatkan larangan pergerakan bermula jam 12 tengah malam hingga 8 pagi iaitu lori kontena yang mengangkut barangan selain dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri yang sama, lori mengangkut barangan elektronik, elektrik, bahan industri, lori tanpa muatan, lori mengangkut barangan pengeluaran hasil sawit dan getah dari ladang ke kawasan industri.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kategori 3 pula membabitkan larangan pergerakan jam 6 petang hingga 6 pagi iaitu kren bergerak dan lori pembancuh simen dalam jarak 25km dari tapak pembinaan.

Sementara itu, Lokman turut memberi peringatan kepada pemandu supaya tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

"Ini kerana perbuatan yang berbahaya ini mampu mengurangkan keupayaan pemandu untuk menumpukan perhatian kepada tugas pemanduan.

"Kehilangan fokus pemandu ini akan menyebabkan penurunan prestasi pemanduan dari segi masa tindak balas serta kegagalan untuk mengelakkan kemalangan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28