Program TNR mampu bendung peningkatan anjing liar

Kon Yeow (tengah) melawat pameran kucing di PIC Fiesta 2024 di Spice Arena pada Sabtu.
Kon Yeow (tengah) melawat pameran kucing di PIC Fiesta 2024 di Spice Arena pada Sabtu.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Pulau Pinang muncul negeri pertama melaksanakan program perangkap, mandul dan dilepaskan (TNR) bagi membendung peningkatan jumlah anjing liar di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sejak 2017 sehingga kini, kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah memandulkan 6,046 anjing liar di bawah program tersebut.

Menurutnya, program itu berjaya mengurangkan populasi anjing liar yang berkeliaran di tempat-tempat awam.

"Badan bukan kerajaan, International Aid for the Protection & Welfare of Animals (IAPWA) bekerjasama melaksanakan program TNR ini. Walaupun telah melaksanakan TNR, kita juga melaksanakan polisi tidak membunuh.

"Kita tidak memusnahkan anjing liar yang ditangkap melainkan ia sakit (tenat). Kalau sudah dimandulkan, kita akan lepaskan ke tempat asal kerana anjing merupakan haiwan berkawasan.

"Kita juga akan menempatkan semula untuk peliharaan kepada mereka yang mahu membela haiwan-haiwan ini," katanya selepas melancarkan 2nd World Cat Federation Penang International Cat (PIC) Fiesta 2024 di Spice Arena di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun, kata Kon Yeow, MBPP masih menerima aduan berhubung kehadiran anjing dan kucing liar khususnya di kawasanTeluk Bahang dan Balik Pulau.

"Masalah sekarang, orang awam suka meletakkan anjing atau kucing di pasar-pasar awam. Kita faham tujuan mereka adalah untuk memastikan haiwan-haiwan ini mendapat bekalan makanan.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan penguatkuasan juga akan dijalankan di pasar-pasar awam. MBPP mempunyai tempat perlindungan haiwan terbiar di Relau untuk tujuan ini.

"Yang pasti, kita tidak tembak, hanya guna jaring sahaja untuk menangkap anjing-anjing liar ini. Kerja-kerja ini bukan mudah," katanya.

Beliau menambah, susulan daripada program TNR itu, jumlah anjing liar didapati berkurangan berikutan haiwan-haiwan tersebut telah dimandulkan.

Sebelum ini, MBPP akan terus bergerak aktif mengadakan kempen kesedaran memandulkan haiwan peliharaan dalam membendung kes haiwan terbiar di tempat awam.

Melalui kempen yang diadakan sebelum ini, permintaan untuk memandulkan terutamanya anjing meningkat.

Menurut MBPP, pada tahun 2021, pihaknya telah menerima 1,309 permohonan manakala bagi tahun 2022, jumlah tersebut meningkat kepada 2,309 permohonan.

Mengulas mengenai PIC Fiesta 2024, Kon Yeow berkata, sebanyak 300 kucing dengan separuh daripadanya berasal dari seluruh dunia.

"Selain pameran kucing, PIC Fiesta 2024 turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya bengkel dandanan kucing, pertandingan melukis, seminar perkongsian ilmu mengenai kucing dan kempen pemilikan kucing Pedigreed.

"Kita menjangkakan PIC tahun ini akan menarik minat 10 kali ganda jumlah pengunjung yang dicatatkan pada tahun lalu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!