X

Kindly register in order to view this article
!

Laporan punca kematian Nur Dinie Damia dikeluarkan petang ini: Exco Johor

Gambar kecil: Aminolhuda Hassan
A
A

JOHOR BAHRU - Laporan penuh berhubung punca kematian murid Tahun Satu, Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain, 7, yang disyaki akibat jangkitan influenza A akan dikeluarkan petang ini.

Exco Kesihatan, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Aminolhuda Hassan berkata, laporan termasuk hasil bedah siasat murid itu sedang diteliti oleh pakar Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Menurutnya, sebarang maklumat berhubung perkara itu juga masih belum boleh didedahkan kerana siasatan masih dijalankan.

"Mungkin petang nanti (laporan penuh), buat masa ini punca sebenar kematian masih belum diketahui dan kajian sedang dilakukan oleh pihak hospital.

"Saya menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini sementara kajian dibuat," katanya pada sidang akhbar ketika hadir melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Pulai di sini hari ini.

Aminolhuda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani turut mengingatkan ibu bapa untuk memastikan kesihatan anak-anak mereka.

"Ibu bapa juga diminta untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah sekiranya mereka menunjukkan tanda-tanda tidak sihat," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Nur Dinie Damia dimasukkan ke unit rawatan rapi HSA sejak Jumaat lalu selepas dipercayai dijangkiti influenza.

Bagaimanapun, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika ditemui semalam memaklumkan dakwaan mengenai kanak-kanak itu terjejas akibat wabak influenza A adalah tidak benar dan ia telah dibuktikan melalui ujian pengesahan Polymerase Chain Reaction (PCR).

Kata Dr Sahruddin, sesi yang dilakukan juga percaya kanak-kanak itu berada dalam keadaan kritikal kerana masalah kegagalan buah pinggang dan hati.

Nur Dinie Damia meninggal dunia pada jam 10.41 malam tadi dan selamat dikebumikan kira-kira jam 10.15 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Parit Haji Siraj Darat, Kampung Kayu Ara Pasong, Pontian.

ARTIKEL BERKAITAN Nur Dinie Damia sudah tiada

Murid kritikal alami kegagalan hati, buah pinggang

Jenazah Nur Dinie Damia selamat dikebumikan