Sanusi dinasihat buat kerja, tak perlu banding-bandingkan - Mahdzir

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

PADANG TERAP - Pengerusi UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegur Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar tidak membanding-bandingkan pentadbirannya dengan pentadbiran Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu.

Mahdzir berkata, Sanusi mendakwa pentadbiran kerajaan negeri hari ini jauh lebih baik, ibarat langit dengan bumi berbanding pentadbiran BN dahulu terutamanya dalam aspek pengurusan kewangan.

"Tak payahlah nak cerita kononnya 'belah' sini baik dan di sana kurang baik.

"Laksanakan saja tanggungjawab sebagai Menteri Besar," katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Zon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu di Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dekat Kampung Bukit Kura, Pedu di sini pada Khamis.

Menurutnya, Muhammad Sanusi juga tidak perlu bersikap sarkastik terhadap pentadbiran terdahulu kerana ketika ini beliau memiliki tanggungjawab dan amanah selaku Menteri Besar bagi menyempurnakan perkara yang dirasakan perlu untuk negeri.

"Cerita saja tentang keadaan negeri pada waktu ini kerana beliau merupakan individu yang bertanggungjawab memimpin Kedah selaku Menteri Besar sekarang.

"Sama ada hal hutang atau hendak baiki sana-sini, itu tanggungjawab beliau sekarang.

"Maka laksanakanlah tanggungjawab itu termasuk perkara yang dinyatakan sebelum ini seperti untuk buat litar lumba, stadium baharu dan lapangan terbang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut katanya, setiap hutang dibuat kerajaan negeri dari kerajaan Persekutuan sudah tentu digunakan untuk keperluan rakyat.

"Kerja-kerja bagi urusan bekalan air luar bandar sebelum ini pun turut dianggap sebagai pinjaman oleh kerajaan Persekutuan kepada negeri.

"Sewaktu kita buka Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), hendak buat Loji Rawatan Air (LRA) di situ juga dikira sebagai pinjaman.

"Setiap tahun ada pinjaman tetapi semua itu membabitkan kerja-kerja melibatkan kemudahan rakyat dan sampai satu ketika, hutang-hutang itu dihapus kira," katanya.

Jelasnya, walaupun berhutang, perkara yang lebih penting adalah ia digunakan untuk memberi kemudahan kepada rakyat seperti jalan raya, bekalan air, surau dan sebagainya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28