Dilabel buat 'kerja gila', hasilnya buat peniaga ubi tersenyum

Sebanyak 60 tan ubi kayu dijual dalam tempoh dua minggu sejak musim tengkujuh melanda baru-baru ini.
Sebanyak 60 tan ubi kayu dijual dalam tempoh dua minggu sejak musim tengkujuh melanda baru-baru ini.
A
A
A

BESUT - Pernah dilabel membuat 'kerja gila' membeli sehingga 20,000 batang benih ubi kayu, seorang pemuda dari Kampung Amir, Kuala Besut di sini kini mampu tersenyum selepas 60 tan hasil tanaman itu terjual dalam tempoh dua minggu.

Tanaman ubi kayu secara sampingan di atas tanah berkeluasan lapan hektar memberi pulangan lumayan buatnya sejak gelombang pertama musim Monsun Timur Laut (MTL) melanda Terengganu.

Muhamad Azizan Mat Zin, 30 berkata, tanaman yang diusahakan bersama sepupunya, Mohd Taufik Abd Rahim, 29, dijual di sebuah gerai yang dibina di kampung berkenaan.

"Tanam ubi kayu ni atas kerajinan kita.

"Kalau rajin tanam, rajin tuai akan dapat banyak hasil.

"Macam yang saya tanam ni kalau secara purata dapat jual empat tan sehari secara borong.

"Memang hasil yang dituai nampak besar namun selepas habis jual, kita perlu tunggu sehingga enam bulan akan datang untuk ubi kayu yang baharu ditanam matang dan sedia untuk dituai kembali," katanya.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu mula menanam ubi kayu sejak tiga tahun lalu dan menjualnya dengan harga serendah RM3 untuk satu kilogram (jualan runcit) dan RM1.50 sekilogram bagi harga borong.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya saya tak sangka ubi kayu ini mendapat permintaan tinggi sehingga ia dijual dengan harga RM6,000 pada hari pertama kami menjualnya tiga minggu lalu.

"Ubi kayu saya tanam berjaya dipasarkan di seluruh negeri Pantai Timur termasuk Terengganu, Kelantan dan Pahang.

"Saya juga ada dapat permintaan dari tempat-tempat lain yang berminat untuk dapatkan ubi kayu ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Muhamad Azizan tidak menyangka ubi kayu yang ditanam mampu mengeluarkan hasil sehingga 60 tan dalam tempoh dua minggu.
Muhamad Azizan tidak menyangka ubi kayu yang ditanam mampu mengeluarkan hasil sehingga 60 tan dalam tempoh dua minggu.

Menurut Muhamad Azizan, selain ubi kayu, beliau turut menanam tembikai dengan menggunakan baja yang sama sekali gus dapat menjimatkan masa dan kos.

"Benih ubi kayu akan disemai di sekeliling batas tembikai sebagai persediaan ketika musim tengkujuh.

"Apabila mendapat baja yang mencukupi, ubi kayu akan lebih cepat matang dan boleh dituai dalam tempoh yang singkat iaitu dalam masa empat bulan berbanding tempoh sepatutnya enam ke lapan bulan, " katanya.

Bercerita pengalaman mengusahakan tanaman itu, Muhamad Azizan berkata, beliau membeli satu treler yang mengandungi 20,000 batang benih ubi kayu.

Katanya, pada peringkat awal ramai yang meragui tindakannya untuk mengusahakan tanaman ubi kayu secara besar-besaran.

"Enam bulan lalu, kawan-kawan tengok saya beli benih ubi kayu sehingga satu treler untuk tanam di kebun saya.

"Mereka kata saya buat 'kerja gila' tapi tak mengapa, saya abaikan sahaja dan nekad mahu membuktikan saya mampu realisasikan hasrat saya itu.

"Saya berani cuba sebab sebelum ini saya telah menanam dan menjual ubi kayu.

"Saya lihat tanaman ini ada potensi sebab itulah saya berani ambil risiko dan tidak sangka ia berjaya," katanya yang kini dibantu oleh 10 orang pekerja.

Muhamad Azizan berkata, perniagaan ubi kayu yang diusahakan pada musim tengkujuh itu bukan hanya menjanjikan pulangan lumayan malah turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Disebabkan permintaan tinggi, kami perlu menggali ubi kayu dua kali sehari untuk memenuhi tempahan pelanggan,"katanya.