Johor kini seragam MB jadi Pengerusi UMNO - Ahmad Maslan

AHMAD MASLAN
AHMAD MASLAN
A
A
A

PONTIAN - UMNO kini sudah menyeragamkan jawatan Pengerusi UMNO negeri dengan jawatan Menteri Besar atau Ketua Menteri di empat negeri yang ditadbir parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Johor sudah menyelaraskan penyeragaman jawatan itu dengan melantik Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengerusi UMNO negeri pada Khamis.

“Pelantikan Onn Hafiz menepati kriteria sebagai ketua kerajaan negeri seperti di Pahang, Melaka dan Perak di mana Menteri Besar atau Ketua Menteri merupakan Pengerusi UMNO negeri.

“Kita ingin melihat perkara itu diselaraskan bagi semua negeri yang diterajui oleh UMNO termasuk Johor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak pembinaan kolej komuniti di Kampung Parit Abdul Rahman, di Benut pada Jumaat.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Pengerusi UMNO Johor menambah, tiada masalah untuk bekerjasama dengan Onn Hafiz bagi memperkukuhkan parti UMNO di Johor.

“Saya bersedia untuk bekerjasama dengan beliau bagi memastikan UMNO Johor terus kukuh dalam mendepani cabaran politik pada masa akan datang,” katanya.

Onn Hafiz yang juga Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam mengambil alih jawatan Ketua UMNO Johor yang disandang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Artikel Berkaitan: