Amalkan sifat sederhana dalam berbelanja sambut Aidilfitri - Tengku Hassanal

Tengku Hassanal (dua kiri) diiringi Yuserrie berkenan bersalaman dengan tetamu pada
Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga UMPSA di kampus Gambang di sini pada Khamis.
Tengku Hassanal (dua kiri) diiringi Yuserrie berkenan bersalaman dengan tetamu pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga UMPSA di kampus Gambang di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan agar rakyat di Pahang supaya mengamalkan sifat bersederhana dalam berbelanja khususnya saat menyambut Aidilfitri.

Baginda bertitah, meraikan hari kemenangan pada bulan Syawal tiada salahnya, namun perlu mengikut kemampuan.

"Jika sampai keadaan kita berhutang dan meminjam semata-mata, itu untuk memeriahkan hari-hari pada bulan Syawal nanti, maka ini bukan tidakan bijaksana.

"Besederhana sambutan Aidilfitri nanti kerana kemeriahan dan kegembiraan pagi syawal, bukan terletak kepada banyaknya berbelanja tetapi bergantung kepada kasihnya silaturahim kita sesama keluarga, jiran tetangga, sanak- saudara, dan tetamu yang tiba," titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di kampus Gambang di sini pada Khamis.

Tengku Hassanal mengurniakan sumbangan UMPSA kepada pelajar khususnya buat pelajar asnaf dan B40 pada majlis itu.
Tengku Hassanal mengurniakan sumbangan UMPSA kepada pelajar khususnya buat pelajar asnaf dan B40 pada majlis itu.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

Tengku Hassanal turut berkenan mengurniakan sumbangan UMPSA daripada pelbagai syarikat korporat dan dana agensi untuk manfaat pelajar khususnya buat pelajar asnaf dan B40.

Artikel Berkaitan:

Baginda bertitah, raikan Aidilfitri dengan cara berpada-pada, namun penuh dengan bahagia.

"Sambutlah Aidilfitri dengan penuh kesyukuran, dan serikanlah dengan amalan yang memberi manfaat sesama insan.

"Jagalah kesihatan dan keselamatan sepanjang hari raya, berhati-hati semasa memandu di jalan raya ketika pulang ke kampung," titah baginda lagi.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal turut menyuarakan rasa bangga apabila Yayasan UMPSA bersetuju mengagihkan dana sebanyak RM1.8 juta bagi tujuan kebajikan dan pembangunan mahasiwa tahun ini.

Titah baginda, dana ini akan menjadi pemangkin dalam memperkukuhkan sokongan kepada pelajar, memastikan kebajikan mereka dan memperluaskan peluang pembangunan untuk meningkat kecemerlangan akademik serta kelestarian kemahiran.

Selain itu, baginda yang juga merupakan pro-canselor UMPSA menyeru kepada semua pihak termasuk badan korporat dan agensi berkaitan untuk menjalinkan kerjasama lebih erat dengan universiti dalam memperkasakan yayasan UMPSA.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28