Cuaca panas, kebakaran di Kelantan meningkat lebih 50 peratus

Hilmi (kiri) dan Zainal melepaskan kenderaan bomba sempena Majlis Perasmian Ops Siaga Raya Aidilfitri 2024 Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan pada Khamis.
Hilmi (kiri) dan Zainal melepaskan kenderaan bomba sempena Majlis Perasmian Ops Siaga Raya Aidilfitri 2024 Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan mencatatkan lebih 50 peratus kes kebakaran susulan musim kemarau dan cuaca panas melampau.

Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, sebanyak 577 kes kebakaran direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 257 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Menurut beliau, kebakaran terbuka juga lebih mudah berlaku ketika kemarau dan sebanyak 244 kes kebakaran belukar direkodkan sehingga 25 Mac lalu.

"Kes lain membabitkan 63 kebakaran sampah, kebakaran hutan 23 kes, tanah gambut enam kes dan tiga kes kebakaran kebun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Ops Siaga Raya Aidilfitri 2024 Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan pada Khamis.

Majlis dirasmikan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah.

Hilmi (tengah) menyampaikan kuih raya kepada pegawai bomba sempena Majlis Perasmian Ops Siaga Raya Aidilfitri 2024 Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan pada Khamis.
Hilmi (tengah) menyampaikan kuih raya kepada pegawai bomba sempena Majlis Perasmian Ops Siaga Raya Aidilfitri 2024 Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan pada Khamis.

Jelas beliau lagi, bomba turut mengenal pasti sebanyak 39 kawasan 'hotspot' kebakaran terbuka membabitkan lapan kawasan di Bachok, 12 di Pasir Puteh, masing-masing enam kawasan di Pasir Mas, Kota Bharu dan Gua Musang serta satu di Tumpat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau memberitahu, seramai 21 anggota dan pegawai bomba 'berkampung' di kawasan kebakaran hutan di sekitar tanah gambut di daerah Bachok sejak awal Mac lalu akibat kemarau.

Tambah beliau, sehingga kini kesemua anggota bomba yang bertugas masih memantau kawasan berkenaan kerana kebakaran masih berlaku.

Menurut beliau, kebakaran kritikal pada penghujung Mac lalu apabila ada anggota yang tidak dapat keluar berikutan kebakaran di sekeliling hutan.

"Bagaimanapun keadaan bertambah baik tetapi api belum padam sepenuhnya berikutan kawasan yang luas dan sukar dipadamkan," katanya.

Dalam pada itu Hilmi menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar dan mengelakkan pembakaran terbuka.

"Kita perlu lebih bertanggungjawab dengan melaporkan kebakaran terbuka kepada agensi terbabit selain berwaspada menutup suis utama jika pulang berhari raya," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28