Kejayaan Sivasangari petanda positif kilauan emas LA28

Nicol
Nicol
A
A
A

KEJAYAAN ratu skuasy negara S Sivasangari muncul juara edisi sulung Kejohanan Skuasy Klasik London memberi sinar kepada skuad negara untuk memburu emas pertama menerusi sukan itu di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), menurut legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David.

Nicol menyifatkan persembahan cemerlang ditampilkan Sivasangari mampu memberi tonik tambahan buatnya untuk memburu emas di temasya berprestij itu, apatah lagi beliau berjaya mengetepikan tiga pemain di ranking 10 terbaik dunia dalam satu kejohanan.

“Saya rasa memang hebat apa dicapai Sivasangari, beliau bekerja keras, beliau mampu menewaskan pemain nombor satu, dua dan empat dunia dalam satu kejohanan, satu pencapaian yang menakjubkan dan saya gembira beliau dapat memanfaatkan momentum daripada suku akhir hingga final, sangat bangga dengan beliau.

“Saya ucapkan selamat maju jaya untuknya kerana kita tahu apa yang diperlukan untuk mencapai kejayaan itu dan terus maju dengan rangsangan positif untuk kejohanan seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Nicol berkata, Sivasangari perlu berhati-hati kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku memandangkan tempoh untuk ke Sukan Olimpik Los Angeles masih panjang.

Katanya, atlet berusia 24 tahun itu perlu menggunakan masa yang ada untuk membuat persediaan rapi menjelang temasya empat tahun sekali itu.

“Saya berpendapat semua orang ada matlamat untuk emas, saya rasa untuk Sivasangari masih ada empat tahun lagi, kita semua menyokong beliau, banyak boleh berlaku, terpulang padanya untuk melakukan apa yang dia mahu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain skuasy negara Sharon Wee menyifatkan kecemerlangan yang ditampilkan Sivasangari dilihat mampu mengembalikan semula zaman kegemilangan Malaysia dalam sukan itu dengan merampas semula ranking pertama pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Sivasangari berada di ranking ke-13, kedudukan ke-10 terbaik sudah pasti dalam tangan, lima terbaik sangat berkemungkinan, nombor satu boleh, tapi untuk ke proses itu kita harus memberi ruang kepada beliau untuk lebih berjaya, dia sudah buat berbaik menang pingat emas, peluang sudah pasti ada,” katanya.

Dalam pada itu Sharon yang juga Timbalan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) turut menyifatkan Sivasangari sebagai pemain cekal kerana mampu bangkit mencipta sejarah meskipun mengalami kecederaan parah akibat kemalangan tahun lepas.

“Beliau sangat kuat dari segi mental, pada masa sama bekerja keras mencapai misi, dan cara dia main sangat agresif dan pintar, beliau sememangnya layak menerima imbuhan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas kejayaannya,” katanya


INFO

Sivasangari melakar sejarah tersendiri selepas muncul juara edisi sulung Kejohanan Skuasy Klasik London selepas menyingkirkan pemain ranking kedua dunia Hania El Hammamy dari Mesir dalam perlawanan akhir.

Pada kejohanan itu, beliau turut mengetepikan pemain keempat dunia Nele Gilis pada separuh akhir selepas menyingkirkan pemain nombor satu dunia Nour El Sherbini di suku akhir.

Kejayaan mara ke perlawanan akhir kejohanan bertaraf emas itu juga menyamai rekod yang pernah dicatatkan Nicol pada edisi 2015.

Sebagai rekod, Sivasangari turut mencipta sensasi tahun lalu apabila menghadiahkan kontinjen negara pingat emas acara perseorangan wanita di Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas menewaskan pemain Hong Kong, Chan Sin Yuk, 3-2.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28