Ratu taekwondo negara bersara

Nurul Hidayah membuat keputusan untuk bersara daripada sukan itu kerana kecederaan dan faktor umur.
Nurul Hidayah membuat keputusan untuk bersara daripada sukan itu kerana kecederaan dan faktor umur.
A
A
A

ATLET taekwondo kebangsaan Nurul Hidayah Abdul Karim membuat keputusan untuk bersara daripada sukan itu kerana kecederaan dan faktor umur.

Pakar disiplin poomsae berusia 25 tahun berasal dari Bintulu, Sarawak itu terpaksa membuat keputusan sukar untuk menamatkan kariernya disebabkan kecederaan menyukarkan beliau mengharungi cabaran lebih besar dalam sukan itu.

Beliau yang telah berkecimpung dalam sukan mempertahankan diri itu sejak berumur 10 tahun sehingga berjaya meraih

pingat kejohanan dunia dan Sukan SEA, bagaimanapun akan terus menabur bakti dalam taekwondo selaku jurulatih.

“Kecederaan lama saya, iaitu kecederaan pinggul kanan yang dialami sejak 2022 tidak pulih lagi. Kemudian, ketika kem latihan Sukan Asia di Korea Selatan pula, saya mengalami kecederaan baharu pada pergelangan tangan kanan dan lutut kiri.

Memandangkan selepas ini poomsae akan ada kategori gaya bebas yang kena buat banyak pergerakan ekstrem. Jadi saya perlu jaga-jaga sebab badan nak pakai lama lagi.

"Tahun depan nak fokus ambil lesen dan kursus bagi sains sukan dan kejurulatihan. Tetapi sekarang masih fokus nak habiskan latihan amali," katanya.

Bercita-cita untuk menjadi pegawai polis seperti bapanya, menurut Nurul Hidayah keputusan untuk bersara telah pun dibincangkan dengan jurulatih Jin Jun Beom dan Yap Yih Tiing yang turut memberi banyak nasihat.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang kini menjalani latihan industri di Bintulu bagi melengkapkan Sarjana Muda Sains Sukan (Pengurusan Sukan) di Universiti Malaya, berkata keputusan itu juga bukan kerana insiden terlepas slot ke separuh akhir poomsae individu wanita di Sukan Asia Hangzhou, September lepas.

Nurul Hidayah yang membuat penampilan sulung pada temasya itu gagal mara ke separuh akhir yang secara automatiknya mengesahkan pingat, berikutan keputusan kontroversi daripada pihak juri.

Beliau diatasi bekas juara dunia Marjan Salahshouri dari Iran dengan perbezaan tipis 0.03 mata, manakala protes daripada kem Malaysia yang mendakwa atlet dari Iran itu melakukan kesilapan, tidak dilayan pihak penganjur.

Antara pencapaian Nurul Hidayah sebelum ini ialah pingat perak pada Kejohanan Poomsae Taekwondo Dunia 2022 di Goyang, Korea Selatan bagi acara pasukan campuran bawah 30 tahun bersama Jason Loo.

Gandingan Nurul Hidayah-Jason juga pernah meraih emas acara berpasukan campuran di Sukan SEA 2019 Filipina dan 2023 Kemboja (acara tidak dipertandingkan pada edisi 2021 Vietnam), selain pingat perak bersama adiknya Nur Humaira dan Lim Jia Wei bagi acara berpasukan wanita di Kemboja. - Bernama