Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7380/7425 berbanding dolar AS daripada 4.7545/7575 semasa ditutup pada Rabu. Foto 123RF
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7380/7425 berbanding dolar AS daripada 4.7545/7575 semasa ditutup pada Rabu. Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila dolar AS menyusut berikutan aktiviti jualan selepas laporan Indeks Pengurus Pembelian ISM AS bagi perkhidmatan menunjukkan tekanan harga yang semakin berkurangan, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7380/7425 berbanding dolar AS daripada 4.7545/7575 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit telah mendapat asas yang baik hari ini berikutan keluaran lemah indeks ISM AS dalam sektor perkhidmatan kepada 51.4 mata pada Mac yang merosot daripada 69.1 mata pada Disember 2021.

"Data sedemikian menyokong pandangan bahawa Rizab Persekutuan akan memulakan pelonggaran monetarinya tahun ini. Persoalannya adalah aturan masa untuk penurunan kadar akhirnya yang terus menjejaskan sentimen pasaran,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, tumpuan telah beralih kepada senarai gaji bukan perladangan yang akan diumumkan pada Jumaat.

Pada penutupan dagangan, ringgit turut diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali berbanding yen Jepun.

Ia menyusut berbanding euro kepada 5.1445/1494 daripada 5.1192/1224 semasa ditutup pada Rabu, rendah berbanding pound Britain kepada 6.0002/0059 daripada 5.9769/9807, tetapi tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.1222/1254 daripada 3.1329/1351 sebelum ini.

Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang Asean kecuali berbanding dolar Singapura.

Artikel Berkaitan:

Mata wang tempatan naik berbanding baht Thailand kepada 12.9048/12.9223 daripada 12.9519/12.9653 pada Rabu dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 298.1/298.5 berbanding 298.6/298.9 sebelum ini.

Ringgit juga menokok berbanding peso Filipina kepada 8.40/8.41 daripada 8.42/8.43 semasa ditutup semalam tetapi merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.5172/5208 daripada 3.5159/5183 sebelum ini. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28