Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.6525/6565 berbanding dolar AS daripada 4.6555/6605 ketika ditutup pada Rabu. - Gambar hiasan
Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.6525/6565 berbanding dolar AS daripada 4.6555/6605 ketika ditutup pada Rabu. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, didorong sentimen positif dalam jangkaan penurunan kadar faedah global tahun depan.

Walau bagaimanapun, dolar AS kekal stabil apabila keyakinan pengguna AS meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh lima bulan pada Disember.

Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.6525/6565 berbanding dolar AS daripada 4.6555/6605 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pertukaran dolar AS berbanding ringgit secara amnya stabil pada kira-kira 4.65 hari ini.

Beliau berkata, ringgit juga lebih kukuh berbanding beberapa mata wang utama lain pada Khamis apabila dasar monetari global dijangka berubah tahun depan.

"Selepas menetapkan paras sokongan sebelum ini pada 4.6611, mata wang tempatan dilihat bergelut untuk bergerak turun lebih rendah daripada 4.65 berbanding dolar AS.

"Ini menunjukkan terdapat kesangsian bahawa perubahan pendirian monetari boleh berlaku. Dalam kata lain, pasaran akan bergantung kepada data,” katanya kepada Bernama.

AS dijadual mengeluarkan laporan inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) teras pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8766/8816 daripada 5.9027/9090 ketika ditutup pada Rabu, dan tinggi berbanding euro kepada 5.0922/0965 daripada 5.1043/1098.

Walau bagaimanapun, mata wang tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 3.2519/2549 daripada 3.2465/2502 semalam.

Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit tempatan susut berbanding peso Filipina kepada 8.37/8.38 daripada 8.35/8.36 pada Rabu, dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.3443/3631 daripada 13.3392/3596.

Namun, ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4973/5006 daripada 3.5027/5968 semalam, dan lebih kukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 299.6/300.0 daripada 300.1/300.5. - Bernama