Pukat pari penyumbang utama kematian penyu

Bangkai seekor penyu agar jantan ditemukan terdampar di Pantai Chakar Hutan di Kerteh, Kemaman Isnin lalu. Gambar kecil: Ruzaidi
Bangkai seekor penyu agar jantan ditemukan terdampar di Pantai Chakar Hutan di Kerteh, Kemaman Isnin lalu. Gambar kecil: Ruzaidi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penggunaan pukat pari bagi menangkap hasil laut menjadi 'perangkap' kepada spesies haiwan terancam iaitu penyu yang ditemukan mati terdampar di pantai Terengganu kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Ruzaidi Mamat berkata, rakyat Terengganu terutamanya golongan nelayan dan komuniti sekitar pantai digesa supaya tidak menggunakan peralatan yang dilarang untuk menangkap ikan, termasuk pukat pari kerana ia mengancam populasi hidupan itu.

Menurutnya, tindakan sedemikian itu bukan sahaja mengancam penyu malah turut memberi kesan terhadap hidupan laut yang lain.

“Berdasarkan kajian pada 2022, penggunaan pukat pari menyumbang sehingga 44 peratus kes kematian penyu yang merupakan antara punca tertinggi penyebab kematian haiwan itu di negeri ini.

“Ia diikuti oleh penggunaan pukat tunda sebanyak 38 peratus dan faktor-faktor lain seperti terkena kipas bot, keracunan dan termakan plastik,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Ruzaidi berkata, penggunaan pukat pari merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980.

Jelas beliau, jika sabit kesalahan mereka yang terlibat boleh didenda tidak kurang RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Kita telah mengambil pelbagai langkah bagi menangani kes tersebut. Kita dapati mereka yang bersalah akan cuba menggunakan pelbagai taktik untuk mengelak daripada ditangkap.

Artikel Berkaitan:

"Hal itu menyebabkan pihak jabatan perlu mengambil pendekatan yang lebih realistik antaranya melakukan aktiviti pemeriksaan di darat iaitu melibatkan pengkalan-pengkalan nelayan dan pemeriksaan premis-premis yang melibatkan komuniti nelayan,” katanya.

Tambah Ruzaidi, penggunaan peralatan itu secara jelas telah dilarang kerana boleh mengancam populasi penyu.

"Selain penggunaan pukat pari dan pukat tunda, jangan jadikan laut kita sebagai tong sampah besar dengan membuang sampah serta plastik di dalam laut kerana boleh menyebabkan kematian hidupan di dalamnya,” ujar beliau.

Sebelum ini, tiga hari berturut-turut sukarelawan membersih pantai atau Geng Plastik Ija (GPI) berkongsi penemuan dua bangkai penyu di Pantai Chakar Hutan di Kerteh bermula pada Isnin dan kes terbaharu berlaku pada Khamis.

Isnin lalu seekor penyu agar jantan dianggarkan seberat 150 kilogram dijumpai mati di Pantai Chakar Hutan dipercayai terjerut pukat pari yang dipasang di laut.

Pada Khamis, sukarelawan pembersihan Geng Plastik Ija (GPI) menemukan bangkai penyu yang hanya tinggal cengkerang terdampar di Pantai Sura, Dungun.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28