Penyu agar jantan dijumpai mati terjerut pukat pari

Normazita menunjukkan penyu agar jantan yang ditemukan mati di Pantai Chakar Hutan, Kertih dipercayai akibat terjerut pukat pari yang dipasang di tengah laut.
Normazita menunjukkan penyu agar jantan yang ditemukan mati di Pantai Chakar Hutan, Kertih dipercayai akibat terjerut pukat pari yang dipasang di tengah laut.
A
A
A

KEMAMAN - Seekor penyu agar jantan dijumpai mati di Pantai Chakar Hutan, Kertih di sini dipercayai akibat terjerut pukat pari yang dipasang di tengah laut.

Ahli Jawatankuasa Geng Plastik Ija (GPI) Daerah Kemaman, Normazita Ali, 48, berkata, dia menerima maklumat berkenaan penemuan penyu itu sekitar jam 7.30 pagi pada Isnin.

"Sebaik tiba di lokasi tersebut sekitar jam 10 pagi, terdapat seekor penyu jantan dianggarkan seberat 150 kilogram (kg) dengan panjang 152.4 sentimeter (cm) terdampar di pantai berkenaan.

"Penyu itu mungkin telah terjerut pukat pari yang digunakan nelayan ketika di tengah laut dan terdampar di pantai ini kerana dibawa arus.

"Saya jangka penyu ini telah mati sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan badannya yang telah kembung dan akan pecah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Isnin.

Menurut Normazita, pihaknya telah menghubungi Jabatan Perikanan Terengganu bagi memaklumkan perkara itu.

"Kita telah hubungi Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut terhadap penyu ini. Biasanya mereka akan periksa dulu penyu yang ditemukan mati sebelum ditanam.

"Pemeriksaan juga dilakukan bagi memastikan sama ada penyu ini mempunyai tanda pada badan bagi proses pengecaman," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, setakat tahun ini terdapat tiga ekor penyu yang ditemukan mati sepanjang membersihkan pantai tersebut.

Ujar Normazita, kebanyakan penyu-penyu yang dijumpai mati disebabkan tersangkut pada pukat pari atau termakan plastik yang berada di laut.

"Kita amat kesal dengan situasi menimpa haiwan terancam itu lebih-lebih lagi sekarang merupakan musim penyu naik ke pantai untuk bertelur.

"Bayangkan, daripada 1,000 ekor anak penyu yang dilepaskan, hanya seekor yang akan membesar ke tahap ini, selepas berpuluh tahun.

"Alangkah ruginya kerana ia mati sekelip mata berpunca daripada pukat pari milik nelayan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!