'Pemilihan surah al-Jumu’ah amat relevan gambarkan situasi semasa’

Zulkifli (kanan) ketika mengikuti program World #QuranHour yang berlangsung di Masjid Negara pada Khamis.. FOTO: SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Zulkifli (kanan) ketika mengikuti program World #QuranHour yang berlangsung di Masjid Negara pada Khamis.. FOTO: SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilihan surah al-Jumu’ah sempena World #QuranHour kesembilan yang berlangsung di Masjid Negara pada Khamis, amat bertepatan dengan situasi masa kini, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Menurutnya, dalam konteks semasa surah berkenaan memberikan makna yang cukup signifikan dalam aspek kehidupan bermasyarakat di negara ini.

“Pemilihan surah al-Jumu’ah ini sangat tepat, surah ini mengajak kepada semua (dalam erti kata bersatu padu) maka kita wajar mengambil pengajaran daripadanya.

“Buat masa ini surah ini boleh menjadi tema kepada kehidupan kita untuk memupuk perpaduan dan keharmonian,” katanya pada sidang media di Masjid Negara pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa terharu dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada program berkenaan.

“Alhamdulillah Permaisuri Agong hari ini mencemar duli bagi memeriahkan majlis kita,” katanya.

Terdahulu World #QuranHour kesembilan yang mengangkat tema ‘Ummah #GrandReset: Kesatuan & Transformasi Sosial’ dengan berpandukan surah al-Jumu’ah berlangsung tepat jam 12 tengah hari pada Khamis.

Masjid Negara dipilih sebagai lokasi perdana bagi penganjuran program interaksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Artikel Berkaitan:

Antara tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Acara dimulakan dengan pembukaan mengaji surah al-Fatihah dan al-Baqarah sebelum disusuli acara kemuncak iaitu sinopsis, bacaan dan tadabbur surah al-Jumu’ah.

Program diteruskan dengan pesan ulama, resolusi dan kesimpulan, sebelum diakhiri dengan Ikrar Quran.

Surah al-Jumu'ah adalah salah satu daripada tujuh surah musabbihat dengan menjadikan hari Jumaat, hari perkumpulan umat Islam setiap minggu sebagai momentum penting bagi transformasi minda ummah seluruh dunia.

Berpandukan surah itu, terdapat empat proses Ummah #GrandReset iaitu Tilawah, Tazkiyah, Ta'lim bil Kitab dan Ta'lim hil Hikmah.

Setakat jam 3 petang pada Rabu, sebanyak 5,193 hotspot didaftarkan oleh pelbagai organisasi bagi penganjuran serentak di Malaysia manakala lapan lokasi di enam negara berdaftar sebagai hotspot World #QuranHour iaitu Singapura (2), Indonesia (2), Arab Saudi, Brunei, Bangladesh dan Thailand.

Sebelum ini, lokasi perdana World #QuranHour berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (UIAM) Gombak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!