World #QuranHour 2024 berlangsung hari ini

A
A
A

KUALA LUMPUR - World #QuranHour kesembilan yang mengangkat tema ‘Ummah #GrandReset: Kesatuan & Transformasi Sosial’ dengan berpandukan surah al-Jumu’ah berlangsung tepat jam 12 tengah hari pada Khamis.

Masjid Negara di sini, dipilih sebagai lokasi perdana bagi penganjuran program interaksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal kali ini.

Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun ini juga lebih bermakna dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Antara tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Acara dimulakan dengan pembukaan mengaji surah al-Fatihah dan al-Baqarah sebelum disusuli acara kemuncak iaitu sinopsis, bacaan dan tadabbur surah al-Jumu’ah.

Program diteruskan dengan pesan ulama, resolusi dan kesimpulan, sebelum diakhiri dengan Ikrar Quran.

Pendekatan Ummah #GrandReset itu menyasarkan perubahan kesatuan dan sosial bagi umat Islam dengan tiga objektif iaitu Ulama, Umara dan Ummah sebagai formula menuju kemenangan akhir zaman.

Surah al-Jumu'ah adalah salah satu daripada tujuh surah musabbihat dengan menjadikan hari Jumaat, hari perkumpulan umat Islam setiap minggu sebagai momentum penting bagi transformasi minda ummah seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

Berpandukan surah itu, terdapat empat proses Ummah #GrandReset iaitu Tilawah, Tazkiyah, Ta'lim bil Kitab dan Ta'lim hil Hikmah.

Setakat jam 3 petang pada Rabu, sebanyak 5,193 hotspot didaftarkan oleh pelbagai organisasi bagi penganjuran serentak di Malaysia.

Manakala, sebanyak lapan lokasi di enam negara berdaftar sebagai hotspot World #QuranHour iaitu Singapura (2), Indonesia (2), Arab Saudi, Brunei, Bangladesh dan Thailand.

Sebelum ini, lokasi perdana World #QuranHour berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (UIAM) Gombak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

@sinarharianonline

World #QuranHour 2024 berlangsung hari ini #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #QuranHour #Islam #MasjidNegara #SurahAlJumuah #Tadabbur

Asma Allah - Bonus Track - Sami Yusuf