Tindakan disiplin, dibuang kerja penjawat awam terlibat rasuah

Rasuah dan salah laku dalam kalangan penjawat awam boleh dibendung dengan pelbagai langkah antaranya mengenakan tindakan disiplin dan pemberhentian kerja. (Gambar kecil: Jais) Gambar hiasan.
Rasuah dan salah laku dalam kalangan penjawat awam boleh dibendung dengan pelbagai langkah antaranya mengenakan tindakan disiplin dan pemberhentian kerja. (Gambar kecil: Jais) Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Rasuah dan salah laku dalam kalangan penjawat awam boleh dibendung dengan pelbagai langkah antaranya mengenakan tindakan disiplin dan pemberhentian kerja.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tindakan itu bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh kakitangan awam tersebut.

"Pengurusan atau ketua jabatan perlu mengenakan hukuman disiplin seperti memberi teguran, penurunan pangkat atau pengurangan gaji kepada mereka yang terlibat jenayah rasuah.

"Selain itu, siasatan dalaman wajar dibuat untuk mengumpul bukti dan menentukan tahap kesalahan yang dilakukan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Selasa media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada semua agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Imigresen supaya mengelakkan salah laku, rasuah serta kecurangan.

Anwar menegaskan, pihaknya sedang memantau secara dekat semua agensi berkaitan supaya tidak terpalit dengan isu berkenaan.

Mengulas lanjut, tambah Jais, jika kesalahan melibatkan penjawat awam secara lantikan kontrak, pembatalan perjanjian boleh diambil kira.

Jelas beliau, tindakan pemecatan wajib dilakukan bagi menjaga integriti dan kredibiliti perkhidmatan awam jika kesalahan berkenaan serius dan terbukti.

Artikel Berkaitan:

"Pengurusan harus memastikan bahawa tindakan yang diambil sejajar dengan peraturan dan prosedur yang ditetapkan serta memastikan kesaksamaan dalam pelaksanaannya.

"Selain itu, keberkesanan sistem peraturan tatatertib penjawat awam juga perlu disemak semula. Ia mungkin perlu ditransformasi bagi memastikan akauntabiliti dan integriti dalam perkhidmatan kerajaan," katanya.

Ujar Jais lagi, tindakan memberhentikan kerja kumpulan itu tidak boleh semberono, ia melibatkan proses rumit dan memerlukan bukti kukuh bagi mengelakkan kerajaan disaman semula yang akan merugikan negara.

Menurutnya, sistem peraturan tatatertib biasanya memberikan ruang untuk penyiasatan yang adil dan prosedur yang perlu diikuti sebelum keputusan akhir dibuat.

"Ini bertujuan untuk memastikan kesaksamaan dan menjaga hak individu, sambil memastikan tindakan diambil jika terdapat bukti yang kukuh terhadap kesalahan yang dilakukan," kata beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28