DBKL tawar hadiah lebih RM300,000 kepada pembayar cukai tanpa tunggakan

Ismadi (empat dari kanan) menyerahkan hadiah kepada 133 pembayar cukai.
Ismadi (empat dari kanan) menyerahkan hadiah kepada 133 pembayar cukai.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 133 pembayar cukai taksiran tanpa tunggakan di ibu negara menerima pelbagai hadiah ditawarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena Bonanza Cukai Taksiran DBKL 2024.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif menganjurkan program itu merupakan salah satu cara DBKL bagi menghargai pemilik harta yang membayar cukai taksiran tanpa sebarang tunggakan.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan, Bonanza Cukai Taksiran DBKL 2024 juga merupakan tarikan kepada pemilik akaun mempunyai tunggakan untuk menjelaskan cukai taksiran mereka.

DBKL menawarkan pelbagai hadiah ditawarkan dengan anggaran keseluruhan bernilai RM390,000.
DBKL menawarkan pelbagai hadiah ditawarkan dengan anggaran keseluruhan bernilai RM390,000.

"Kereta, motosikal, basikal elektrik, tablet, dinar emas serta pelbagai barangan elektrik merupakan antara hadiah yang ditawarkan dengan anggaran keseluruhan hadiah bernilai RM390,000," kata DBKL dalam kenyataan di laman Facebooknya.

Terdahulu, hadiah kepada 133 pembayar cukai terbabit disampaikan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi), Ismadi Sakirin mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.

Untuk rekod, kesemua pemenang telah dipilih melalui sesi cabutan yang telah disiarkan secara langsung di Facebook Rasmi DBKL pada 21 Mac lalu.

Dalam pada itu, DBKL turut menghargai semua pemilik harta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah memberi komitmen untuk menjelaskan bayaran cukai taksiran pada setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana ia merupakan nadi kepada pelaksanaan pembangunan dan pengurusan bandaraya Kuala Lumpur yang lebih cekap dan efisien," tambah kenyataan itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28