'Papa Jaafar Onn tak lokek kongsi rezeki' - Haiza

Haiza (kiri) kali terakhir bertemu Jaafar Onn (duduk, tengah) yang dipanggil papa pada Oktober tahun lalu.
Haiza (kiri) kali terakhir bertemu Jaafar Onn (duduk, tengah) yang dipanggil papa pada Oktober tahun lalu.
A
A
A

"SAYA saksi kebaikan arwah dan betapa pemurahnya papa (panggilan buat Jaafar Onn) ketika hayatnya. Bayangkan kalau dia ada undangan persembahan, dia akan panggil dua lagi rakan dan berkongsi bayaran sama rata."

Itu antara sikap baik dimiliki oleh penghibur, Jaafar Onn Awang atau lebih dikenali sebagai Jaafar Onn yang dikongsikan penyanyi dan penyampai radio, Haiza Hanafi.

Menurut Haiza, sepanjang 28 tahun bersahabat baik, Allahyarham tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu dan pelbagai pesanan berguna.

"Saya bermula dalam dunia seni pada usia 15 tahun dan sudah mengenalinya sejak sekian lama. Saya banyak belajar mengenai dunia pengacaraan dan cara mengendalikan penonton daripada papa.

Jaafar meninggal pada usia 72 tahun.
Jaafar meninggal pada usia 72 tahun.

"Begitu juga bab kerja, contohnya kalau papa ada persembahan pentas dengan bayaran RM3,000, dia akan ajak dua lagi kawannya sama ada, kak Salwa, arwah Rohana Jalil atau arwah Maya Matahari. Kemudian bayaran itu akan dibahagikan sama rata.

"Bagi papa apa yang penting adalah berkongsi rezeki dan ada kawan-kawan bersamanya," ujarnya kepada Sinar Harian.

Berkongsi berita duka yang diterimanya pada jam 11.35 pagi pada Rabu, Haiza, 44, berkata, dia dan beberapa orang rakan sudah merancang untuk menziarahi Allahyarham.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian dan Haiza bersama rakan-rakan yang lain hanya sempat berbakti untuk perjalanan terakhir Jaafar Onn untuk disemadikan di Tanjung Gading, Muar, Johor.

"Kali terakhir kami berjumpa pada Oktober tahun lalu ketika arwah dimasukkan ke hospital. Selepas itu kami hanya berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.

"Selalunya saya akan tanya dia nak makan apa. Apa yang dia mahu saya akan pesan dan dihantar oleh penghantar makanan.

"Cuma hasrat akhirnya untuk ada kerusi urut kami tidak dapat tunaikan kerana kakinya sudah membengkak, bimbang memberi kesan buruk. Jadi wang yang kami kumpul, kami serahkan sahaja pada papa," jelasnya.

Sementara itu, anak angkat Jaafar, Mohd Hanif Mohd Hashim memberitahu Allahyarham meninggal dunia ketika sedang menjalani prosedur endoskopi pada 11.32 pagi tadi.

Hanif
Hanif

Menurut Hanif, doktor sudah memaklumkan bahawa prosedur tersebut berisiko tinggi disebabkan jantungnya agak lemah ketika itu.

“Pagi tadi papa ada melalui prosedur endoskopi dan doktor memang ada beritahu prosedur itu berisiko sebab papa ada masalah jantung lemah tapi terpaksa buat disebabkan pendarahan.

“Kadar degupan jantung dia tinggi sampai 140. Masa buat endoskopi sekitar pukul 10 pagi dan ketika melalui prosedur itu, papa mengalami serangan jantung dan meninggal dunia pada pukul 11.32 pagi,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Hanif berkata demikian ketika ditemui di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor pada Rabu.

Jenazah dibawa pulang ke kampung halaman di Tanjung Ganding, Muar untuk dikebumikan di sana.
Jenazah dibawa pulang ke kampung halaman di Tanjung Ganding, Muar untuk dikebumikan di sana.

Hanif turut memaklumkan pada awalnya Allahyarham pergi ke klinik disebabkan mengalami tekanan darah rendah dan pendarahan tanpa henti semasa membuang air besar.

Doktor turut memaklumkan kemungkinan pendarahan itu berlaku disebabkan pengambilan ubat tahan sakit yang diambil terlalu lama.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!