'KPKT perlu santuni perokok, bukan bina pondok khas'

Salah satu kawasan merokok yang terdapat di Tokyo, Jepun. Gambar hiasan. - Foto 123RF
Salah satu kawasan merokok yang terdapat di Tokyo, Jepun. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sewajarnya menyantuni golongan perokok melalui kaedah mendidik dan bukan menggalakkan lagi aktiviti tidak sihat itu dengan membina pondok khas merokok.

Timbalan Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Shaari Ahmad Junid berkata, pondok merokok dalam jarak 3 meter dari meja terakhir di kedai makan akan menyebabkan perokok berkumpul beramai-ramai.

Menurutnya, situasi tersebut memberi contoh tidak baik kepada golongan kanak-kanak dan remaja yang berada di kedai makan yang melihat golongan dewasa merokok.

“Kawasan yang hendak dibina pondok sememangnya kawasan dibenarkan merokok. Maka apa keperluan bina pondok? Adakah kalau mereka merokok di luar pondok, mereka boleh disaman?

“Sepatutnya bantu kempen berhenti merokok, bukannya menggalakkan lagi. Larangan merokok di kedai makan sudah jelas,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Bendahari Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Aktiviti Kawalan Tembakau, Noreen Abdullah berkata, peruntukan sebanyak RM1 juta bagi tujuan membina pondok khas merokok adalah lebih bermanfaat jika digunakan untuk program peningkatan kesedaran dan pencegahan.

Menurutnya, program tersebut perlu dilaksanakan di semua peringkat termasuk membabitkan pelajar sekolah selain kempen sayangi keluarga agar bebas dari asap rokok basi.

“Santuni golongan perokok melalui kaedah sebegini. Tingkatkan kesedaran mereka seperti kesan asap rokok basi kepada orang sekeliling terutama isteri dan anak.

Artikel Berkaitan:

“Bina pondok merokok yang dilihat satu galakkan pula kerana merokok sudah difatwakan haram,” katanya.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menegaskan kerajaan melihat kepentingan rakyat yang mempunyai keperluan rencam dan masing-masing perlu dilayan.

"Kita ada sektor (rakyat) yang jaga kesihatan, ada sektor yang nak merokok.

"Jadi kita harus menyantuni golongan ini (perokok), berikan mereka kemudahan tempat merokok," katanya.