Apa motif G25 terus persoal penubuhan Jakim?

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mempersoalkan motif kumpulan bekas penjawat awam (G25) yang terus membangkitkan isu berhubung penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) walaupun sudah diberikan penjelasan terperinci sebelum ini.

Beliau berkata, antara yang diperjelaskan dalam dua pertemuan bersama G25 pada November tahun lalu dan 2018 adalah mengenai penubuhan, penguatkuasaan dan peruntukan yang diterima Jakim.

"Saya tidak faham kenapa isu ini masih berlegar. Ini bukan soal mereka (G25) tidak hormat Islam tetapi persepsi yang dibina boleh menimbulkan rasa khuatir pihak tertentu kepada kumpulan tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Media pada Sabtu melaporkan dakwaan G25 bahawa penubuhan Jakim dan Majlis Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) tidak mengikut Perlembagaan kerana tiada peruntukan untuk agensi berkenaan ditubuhkan di peringkat nasional.

Mujahid menjelaskan, kewujudan Jakim adalah berkaitan pentadbiran agama di peringkat Persekutuan, bermula sebagai Unit Agama Jabatan Perdana Menteri dan bertukar kepada Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis) sebelum dinaik taraf kepada sebuah jabatan dikenali sebagai Jakim pada 1997.

Mengenai peruntukan RM1.2 bilion dan RM1.3 bilion yang diterima Jakim pada 2019 dan tahun ini, Mujahid menjelaskan 60 peratus daripada peruntukan itu digunakan untuk membayar gaji imam dan guru agama di seluruh negara, manakala baki 40 peratus untuk urusan pentadbiran Jakim termasuk gaji kakitangan. - Bernama

Artikel Berkaitan: