Pendakwaan bantah permohonan Muhyiddin cabar keputusan mahkamah rayuan

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan membantah permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan kebenaran Mahkamah Rayuan bagi menyemak keputusan dibuat oleh panel hakim sebelum ini yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan RM232.5 juta terhadap bekas perdana menteri itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

Menerusi dokumen diperoleh media, bantahan awal itu difailkan pendakwaan pada 1 April lepas atas alasan permohonan Presiden Bersatu itu adalah remeh dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada 28 Februari lepas, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan berkenaan.

Sementara itu semasa prosiding di Mahkamah Sesyen, Wan Shaharuddin memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan berikutan pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pembelaan minggu lepas.

"Mohon tarikh bicara ditetapkan atas alasan pihak pembelaan tidak memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding kes di Mahkamah Sesyen," katanya.

Bagaimanapun peguam Datuk Seri K. Kumaraendran memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan lain kerana pihak pembelaan perlu meneliti dokumen yang diperoleh pihak pendakwaan.

Seorang lagi peguam Muhyiddin, Amer Hamzah Arshad pula berkata, adalah terlalu awal untuk mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan kerana mahkamah juga perlu memutuskan permohonan anak guamnya untuk membatalkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram dihadapinya.

Artikel Berkaitan:

"Tambahan pula terdapat permohonan oleh pihak pendakwaan untuk kes dihadapi anak guamnya iaitu penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dibicarakan bersama,” kata peguam itu.

Azura kemudian menetapkan 8 Mei untuk pengurusan kes.

Muhyiddin, 76, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28