Hukuman penjara kes rasuah Imran Khan, isteri ditangguhkan

Imran dan isterinya, Bushra Bibi didakwa menjual hadiah diberikan Perbendaharaan Negara bernilai lebih 140 juta rupee (RM2.39 juta). Foto Agensi
Imran dan isterinya, Bushra Bibi didakwa menjual hadiah diberikan Perbendaharaan Negara bernilai lebih 140 juta rupee (RM2.39 juta). Foto Agensi
A
A
A

ISLAMABAD - Mahkamah Pakistan pada Isnin menangguhkan hukuman penjara 14 tahun berhubung kes rasuah yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri, Imran Khan dan isterinya, Bushra Bibi.

Jurucakap Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), Ahmed Janjua memaklumkan keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Islamabad.

Sementara itu, peguam, Barrister Ali Zafar berkata, hukuman penjara pasangan itu akan ditangguhkan sehingga keputusan akhir mengenai sabitan tersebut ditentukan oleh hujah dan bukti sebagai petisyen utama selepas cuti perayaan Aidilfitri.

Di bawah pertuduhan itu, Imran, 71, dan isterinya didakwa menjual hadiah bernilai lebih 140 juta rupee (RM2.39 juta) yang diterima daripada Toshakhana (Perbendaharaan Negara) ketika masih memegang jawatan pada 2018-2022.

Hukuman penjara berkaitan dua kes lain termasuk tuduhan khianat dan perkahwinan secara tidak sah yang dikenakan ke atas Imran, bagaimanapun masih kekal.

Bekas bintang kriket itu berdepan lebih 200 kes sejak beliau digulingkan pada April 2022 yang turut mengharamkan pemimpin tersebut bertanding pilihan raya pada Februari lalu. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: