Aidilfitri: Stesen 'bas catar' di Tunjong bermula 4 April

Mohd Anis (dua dari kanan) menunjukkan peta lokasi stesen sementara bagi bas sewaan khas menurun dan menaikkan penumpang.
Mohd Anis (dua dari kanan) menunjukkan peta lokasi stesen sementara bagi bas sewaan khas menurun dan menaikkan penumpang.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menetapkan lokasi di Jalan Persiaran Tunjong (bersebelahan Pasar Raya Besar Mydin), di sini sebagai stesen 'bas catar' atau sewaan khas sementara bagi musim perayaan Aidifitri ini.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Mohd Anis Hussein berkata, stesen bas sementara itu akan berkuat kuasa pada 4 April hingga 17 April ini.

Menurut beliau, langkah itu diambil bagi mengurangkan kesesakan di Terminal Bas Ekspres di Lembah Sireh yang menjadi stesen tetap untuk bas-bas ekspres berdaftar.

Mohd Anis
Mohd Anis

“Setiap tahun akan ada bas-bas sewaan khas digunakan oleh perantau untuk pulang ke kampung bagi meraikan hari raya.

“Kami tidak mahu bas-bas ini menambahkan kesesakan di kawasan bandar pada musim perayaan dan disebabkan itu perkara ini diuar-uarkan kepada pemandu-pemandu bas sewaan khas untuk menaikkan atau menurunkan penumpang mereka di lokasi bersebelahan dengan Pasar Raya Besar Mydin di Tunjong,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat MPKB-BRI di sini pada Isnin.

Menurut beliau, sebelum itu terdapat cadangan lokasi bagi bas sewaan khas ini menurunkan penumpang di Masjid Muhammadi dan Stadium Sultan Muhammad IV di bandar Kota Bharu, namun tidak dipersetujui kerana akan menambah kesesakan di kawasan itu.

Katanya, lokasi pemilihan di Tunjong tersebut lebih strategik kerana lebih lapang dan terdapat banyak kemudahan yang boleh digunakan seperti tempat letak kereta, surau dan tandas milik pasar raya.

Artikel Berkaitan:

“Pihak kami juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Pengangkutan Awam Darat bagi memastikan kelancaran urusan serta trafik di lokasi stesen sementara tersebut.

“Kami juga akan memaklumkan perkara ini kepada pihak pasar raya dan dirasakan tidak ada masalah kerana bas akan berhenti di luar kawasan pagar pasar raya itu,” katanya.

Menurut beliau, dijangkakan 56,000 perantau akan menggunakan perkhidmatan bas ekspres dan bas sewaan khas termasuk penuntut dari institusi pengajian tinggi untuk pulang berhari raya bermula Jumaat ini.

“Pada waktu biasa, Terminal Bas Ekpsres di Lembah Sireh digunakan sekitar 50 trip perjalanan bas sehari.

“Pada musim perayaan akan bertambah berkali ganda sehingga 140 trip pada pagi dan malam,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28