Hibah digital Wasiyyah diiktiraf Mahkamah Syariah Johor

Ariffin Sabirin
Ariffin Sabirin
A
A
A

WASIYYAH Shoppe Berhad berjaya memperoleh perintah pengesahan hibah pertama untuk dokumen hibah digital pelanggannya yang disediakan melalui aplikasi mudah alihnya, Usra Hibah Digital Document (UsraHDD) pada 31 Mac lalu daripada Mahkamah Syariah Johor.

UsraHDD ialah sistem aplikasi mudah alih pelaksanaan akad hibah digital melalui telefon bimbit tanpa kertas pertama di dunia, merupakan sistem inovatif yang dibangunkan oleh kepakaran dalaman Wasiyyah Shoppe Berhad yang diluncurkan pada Mac 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad, Ariffin Sabirin berkata, melalui sistem ini, pemberi hibah dan penerima hibah boleh berakad hibah secara digital melalui telefon bimbit mereka pada masa sebenar (realtime) bila-bila masa dan boleh dibuat di mana-mana sahaja lokasi seluruh dunia.

Beliau berkata, dokumen hibah beserta syaratnya yang telah sempurna diakadkan akan disimpan di sistem awan dan boleh dicapai oleh pemberi dan penerima hibah pada bila-bila masa yang mereka perlukan.

“Aplikasi mudah alih ini dicipta sepenuhnya oleh pakar teknologi anak tempatan dalaman Wasiyyah Shoppe Berhad dan teknologi yang pertama seumpamanya di dunia. Kami tidak memodifikasikan ia daripada mana-mana sistem lain kerana teknologi seumpamanya memang tidak wujud di dunia pada ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, semenjak pandemik Covid-19 melanda dunia yang menyebabkan kekangan kepada pergerakan fizikal, Wasiyyah Shoppe Berhad telah membangunkan pelbagai kaedah atas talian untuk memudahkan pelanggannya berakad hibah tanpa perlu bertemu secara fizikal.

Tambahnya, secara tradisional dokumen hibah perlu ditandatangani secara fizikal dan semua pemberi dan penerima hibah perlu berkumpul untuk majlis akad hibah.

"Namun ketika Malaysia di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kaedah ini tidak boleh dilaksanakan. Wasiyyah Shoppe Berhad telah berinovasi dan meluncurkan kaedah hibah melalui televideo pertama di Malaysia dan ini memudahkan pelanggannya berakad hibah tanpa perlu bertemu secara fizikal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kaedah ini juga telah mendapat pengesahan hibah daripada Mahkamah Syariah pada 27 Julai 2023 daripada Mahkamah Syariah Selangor.

“Walaupun telah berjaya membantu pelanggan melalui kaedah televideo ini, namun kami dapati kaedah ini masih tidak cekap dan memakan masa kerana gangguan talian internet akan menyebabkan proses akad hibah itu tergendala dan terpaksa diulang semula.

"Oleh itu kami terus berinovasi mencari kaedah lebih baik dan selepas hampir 2 tahun, usaha itu berjaya dengan pengenalan aplikasi mudah alih UsraHdd," katanya.

Dalam proses pembangunan sistem ini, katanya, Wasiyyah Shoppe Berhad telah mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengadakan sesi libat urus aktif dengan pelbagai pihak berotoriti, pakar undang-undang syariah dan sivil serta ilmuwan agama yang berpengalaman.

Katanya, strategi ini diambil bagi memastikan segala sistem yang dibangunkan bukan sahaja bersifat inovatif dan memudahkan malah juga patuh syariah sepenuhnya dan boleh berkuatkuasa mengikut undang-undang semasa.

“Perintah pengesahan hibah yang kami perolehi untuk dokumen hibah melalui UsraHDD ini membuktikan bahawa Mahkamah Syariah mengiktiraf dokumen hibah digital dan Wasiyyah Shoppe Berhad berbangga kerana kami menjadi pelopor kepada kaedah digital ini di Malaysia,” katanya.

Dengan perintah pengesahan hibah untuk dokumen hibah UsraHDD ini, Wasiyyah Shoppe Berhad muncul sebagai satu-satunya syarikat amanah di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan hibah melalui kaedah penyediaan dokumen fizikal yang perlu ditandatangan, kaedah televideo dan kaedah dokumen hibah digital.

Kesemuanya itu telah terbukti berkesan dari sudut undang-undang, mempunyai trek rekod perintah pengesahan hibah daripada Mahkamah Syariah dan berkuatkuasa mengikut undang-undang semasa.

Ariffin juga menambah, kejayaan itu membuka peluang besar kepada Wasiyyah Shoppe Berhad untuk meneroka kerjasama pasaran institusi kewangan di pasaran domestik dan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri perancangan harta dan pengurusan pusaka di Malaysia.

Wasiyyah Shoppe Berhad menjangkakan seramai 20,000 orang pelanggan akan menggunakan aplikasi mudah alih UsraHDDnya pada tahun kewangan 24/25 dengan nilai transaksi mencecah RM40 juta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!