[VIDEO] Boleh kongsi e-LKM melalui aplikasi MyJPJ bermula hari ini

A
A
A

SHAH ALAM - Orang awam boleh membuat perkongsian Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) menggunakan fungsi baharu iaitu ‘Kongsi LKM’ di aplikasi MyJPJ bermula Selasa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, melalui fungsi baharu ini, pemilik kenderaan boleh berkongsi e-LKM dengan ahli keluarga, rakan-rakan atau individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan.

Anthony (tengah) mengadakan lawatan kerja ke JPJ Negeri Selangor di Jalan Padang Jawa, Seksyen 16, di sini pada Selasa.
Anthony (tengah) mengadakan lawatan kerja ke JPJ Negeri Selangor di Jalan Padang Jawa, Seksyen 16, di sini pada Selasa.

Beliau menjelaskan, pemilik kenderaan hanya perlu klik nombor plat kenderaan dan seterusnya klik butang ‘Kongsi LKM’ untuk membuat perkongsian e-LKM kepada individu lain.

Ujarnya, fungsi itu mempunyai tempoh had masa perkongsian yang boleh ditetapkan pemilik kenderaan dan mempunyai kod pengaktifan yang perlu diberikan kepada penerima e-LKM tersebut untuk mengaktifkan perkongsian.

"Sistem juga akan menghapuskan rekod perkongsian sekiranya tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam.

"Sebagai contohnya, Ahmad berhasrat menggunakan kenderaan milik bapanya dalam tempoh satu minggu, sebelum menggunakan kenderaan tersebut, bapanya boleh membuat perkongsian e-LKM di aplikasi MyJPJ," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke JPJ Negeri Selangor di Jalan Padang Jawa, Seksyen 16, di sini pada Selasa.

Anthony (tengah) mengadakan lawatan kerja ke JPJ Negeri Selangor di Jalan Padang Jawa, Seksyen 16, di sini pada Selasa.
Anthony (tengah) mengadakan lawatan kerja ke JPJ Negeri Selangor di Jalan Padang Jawa, Seksyen 16, di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, bagi memudahkan orang awam untuk mendapatkan perkhidmatan JPJ secara digital, katanya, pembaharuan Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu Malaysia boleh dilaksanakan melalui aplikasi MyJPJ bermula 1 Februari 2024.

Jelasnya, pelaksanaan urus niaga pembaharuan LKM melalui aplikasi berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa di mana pada peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu (warganegara).

"Pertambahan fungsi baharu ini akan memudahkan orang awam untuk memperbaharui LKM dan LMM secara digital, menjimatkan masa dan kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter-kaunter JPJ," tambahnya.

Dalam pada itu, untuk mengalakkan penggunaan e-LMM, mereka yang memilih Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) semasa pembaharuan juga akan menikmati rebat sebanyak RM5.

"Rebat ini akan dinikmati sepanjang tahun 2024 iaitu bermula 1 Februari 2024 sehingga 31 Disember 2024.

"Inisiatif ini terpakai untuk mereka yang memilih e-LMM semasa pembaharuan sama ada melalui kaunter JPJ / portal mySIKAP / aplikasi MyJPJ atau rakan niaga JPJ (Pejabat Pos Malaysia dan MyEG Services Berhad)," kata Anthony.

Bagaimanapun beliau berkata, inisiatif itu hanya untuk warganegara Malaysia sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas atau permit jangka masa panjang dan Kad MyKAS atau Kad MyPR.