Tiga remaja sesat di hutan Pulau Kerengga ditemukan selamat

Mangsa dilaporkan sesat di Pulau Kerengga pada Sabtu. Foto Bomba Terengganu
Mangsa dilaporkan sesat di Pulau Kerengga pada Sabtu. Foto Bomba Terengganu
A
A
A

MARANG - Tiga remaja dilaporkan hilang ketika memikat ayam hutan dalam hutan di Pulau Kerengga, dekat sini ditemukan dalam keadaan selamat pada pagi Ahad.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Zuraidi Yusuf berkata, kesemua remaja berusia antara 15 hingga 16 tahun itu dilaporkan hilang pada Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.19 petang.

Pihak bomba menjalankan operasi mengesan mangsa hilang. Foto Bomba Terengganu
Pihak bomba menjalankan operasi mengesan mangsa hilang. Foto Bomba Terengganu

"Mereka yang dikenali sebagai Adam berusia 15 tahun dan Haris serta Amirul yang masing-masing 16 tahun dipercayai telah memasuki hutan berkenaan pada jam 11 pagi sebelum menyedari tersesat beberapa jam kemudian.

"Berdasarkan maklumat awal, ketiga-tiga mangsa dipercayai memasuki kawasan hutan sedalam kira-kira 29 kilometer untuk memikat ayam hutan.

"Mangsa berjaya ditemui pada jam 8.13 pagi tadi di hutan tersebut sebelum mereka dibawa turun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, kesemua mangsa didapati berada dalam keadaan lemah tanpa sebarang kecederaan yang serius.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa hanya mengalami luka-luka kecil dan dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang untuk pemeriksaan lanjut," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28