Bank Rakyat peruntuk RM1.48 juta bantu 7,400 keluarga asnaf

Ketua Pegawai Kewangan Bank Rakyat, Amren Faisal Fadzil, (tujuh dari kanan) menyerahkan sumbangan Program Imarah Ramadan di Masjid Al-Ikhlasiah Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Kewangan Bank Rakyat, Amren Faisal Fadzil, (tujuh dari kanan) menyerahkan sumbangan Program Imarah Ramadan di Masjid Al-Ikhlasiah Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM – Bank Rakyat telah menyerahkan bakul makanan berserta wang sumbangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.48 juta kepada 7,400 keluarga asnaf secara serentak di 148 lokasi di seluruh negara.

Ia diadakan bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti kebajikan bersama komuniti setempat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman berkata, program bersempena dengan Kempen Ramadan Raya ‘Tulus Ikhlas’ dan ulang tahun Bank Rakyat yang ke-70 tersebut membuktikan komitmen berterusan bank dalam menganjurkan inisiatif yang menyumbang kepada kebaikan dan kemakmuran bersama dengan kerjasama seluruh cawangan Bank Rakyat.

Menurut beliau, Bank Rakyat bukan sahaja menyediakan penyelesaian kewangan merentasi segmen, bahkan memberi sepenuh komitmen dalam inisiatif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat dan program ini merupakan salah satu daripadanya.

“Inisiatif sumbangan bakul makanan ini memasuki tahun ketiga berturut-turut penganjurannya pada tahun ini.

“Kami bersyukur kerana dapat meneruskan program ini dan berkongsi rezeki dengan masyarakat yang memerlukan berbanding pada tahun sebelum ini dan mendekati pelanggan di sekitar kawasan Bank Rakyat beroperasi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, setiap satu bakul makanan yang bernilai RM100 dan mengandungi minyak masak, teh, tepung, gula, kurma, kuih raya serta pelbagai keperluan lain.

“Mereka juga menerima wang sumbangan bernilai RM100 setiap seorang bagi membantu memenuhi keperluan seharian dalam menjalani ibadah puasa dan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri kelak,” kata Mohammad Hanis.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28