50 jam bakar 1,000 lemang untuk diberi percuma

Petugas Pantas bergotong-royong menyiapkan bungkusan pek makanan berisi lemang dan rendang
Petugas Pantas bergotong-royong menyiapkan bungkusan pek makanan berisi lemang dan rendang
A
A
A

NILAI - Sekumpulan anak muda daripada Pertubuhan Skuad Pantas Nilai (Pantas) sanggup mengerah tenaga selama 50 jam untuk membakar 1,000 batang lemang sebelum diagihkan secara percuma kepada orang ramai di Bazar Ramadan Bandar Baru Nilai dekat sini pada Ahad.

Timbalan Pengerusi Pantas, Muhammad Jailani Ahmad Zawawi, 35, berkata, bagi menjayakannya mereka mula memasak secara bergotong-royong sejak malam Jumaat lalu.

"Seramai 30 sukarelawan Pantas mengambil bahagian membakar lemang secara bergilir-gilir dan untuk mempercepatkan proses memasak, kami membakar lemang menggunakan cara moden iaitu menggunakan tong dram.

"Setiap tong boleh memuatkan 25 ke 30 batang lemang dalam satu masa dan dapat dimasak dalam tempoh dua jam," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Petugas Pantas bergotong-royong memotong lemang
Petugas Pantas bergotong-royong memotong lemang

Menurutnya, sebanyak 500 kilogram (kg) beras pulut dan 150 kg santan telah digunakan manakala untuk memasak rendang pula, sebanyak 100 ekor ayam digunakan dengan kos keseluruhan sebanyak RM8,000.

Ujarnya, program tersebut dianjurkan sebagai salah satu pengisian Program Ihya Ramadan yang turut mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi seperti Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

"Tujuan utamanya ialah untuk berkongsi rezeki sekali gus menyemarakkan lagi sambutan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

"Untuk pengagihan lemang saja, sebanyak 3,000 bekas makanan berisi lemang dan rendang diagihkan kepada orang ramai, " katanya.

Arul Kumar turut mengagihkan lemang dan bubur lambuk percuma kepada orang ramai
Arul Kumar turut mengagihkan lemang dan bubur lambuk percuma kepada orang ramai

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Nilai, J Arul Kumar turut hadir bagi memeriahkan program berkenaan.

Turut diadakan program Trash To Cash, Free Market, Pengumpulan Minyak Masak Terpakai dan Fabrik Terpakai Bandar Baru Nilai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!