'Mama sempat buatkan ketupat untuk kami sebelum meninggal'

Muhammad Fazli menunjukkan gambar Allahyarham ibunya bersama keluarga mereka.
Muhammad Fazli menunjukkan gambar Allahyarham ibunya bersama keluarga mereka.
A
A
A

ALOR SETAR - Wanita yang ditemukan meninggal dunia atas sejadah dalam rumahnya di Taman Inang di sini, pada malam Sabtu sempat membuat persiapan Aidilfitri.

Anak lelakinya, Muhammad Fazli Adnan, 33, berkata, ibunya, Manirah Rafie, 59, sempat membuat ketupat sejuk beku untuk mereka sekeluarga bagi meraikan Syawal kali ini sebelum ditemui meninggal dunia dipercayai akibat penyakit jantung.

Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, dia bertemu arwah kali terakhir pada minggu lepas selepas ibunya datang ke rumahnya di Bukit Jalil dan kediaman adik perempuannya di Seri Kembangan.

"Sepanjang berada di rumah adik, mama masak ketupat untuk hidangan keluarga dan tempahan.

"Arwah kata lepas ini sudah tak perlu buat dah ketupat sebab dah nak raya," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Inang di sini, pada Ahad.

Muhammad Fazli berkata, arwah ibunya juga sempat memasak pelbagai makanan untuk isterinya yang sedang berpantang ketika berkunjung ke rumahnya.

Allahyarham Manirah (berdiri, tudung hitam) bergambar bersama keluarganya.
Allahyarham Manirah (berdiri, tudung hitam) bergambar bersama keluarganya.

"Mama kata makanan ini cukup sampai kami balik raya nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, ibunya turut keluar bersama adik perempuannya untuk membeli barangan kelengkapan raya.

"Mama beli dua baju termasuklah satu berwarna biru untuk raya dan satu lagi berwarna putih untuk merisik adik.

"Disebabkan itu, kami sekeluarga terkejut apabila menerima maklumat tentang kematian mama kira-kira jam 9 malam Sabtu," katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga sedih apabila arwah ibunya pergi sebelum sempat meraikan Syawal bersama-sama.

Tambah Muhammad Fazli, Syawal kali ini pastinya amat suram namun mereka reda atas kehilangan ibu tercinta yang penyayang dan suka memasak itu.

Sementara itu, anak saudaranya, Maizatul Akma Saad, 28, berkata, mereka berasa tidak sedap hati selepas Manirah tidak membalas pesanan WhatsApp, selain kali terakhir dilihat aktif pada jam 7 malam, Khamis lepas dalam aplikasi itu.

Menurutnya, mereka kemudiannya ke rumah wanita itu untuk memeriksa keadaan sebelum mendapati kediaman terbabit dalam keadaan gelap dan pintu berkunci, namun pendingin hawa berfungsi.

"Jadi, saya bertindak menghubungi talian kecemasan sebelum bomba datang memecahkan pintu rumah dan menemui arwah Mak Ngah dalam keadaan berbaring di atas sejadah di ruang tamu dengan kain telekung di sisi," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang wanita berusia 59 tahun ditemukan meninggal dunia atas sejadah dalam rumahnya di Taman Inang di sini, pada malam Sabtu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28