Jangan bayar zakat fitrah saat akhir - LZNK

Norizan (tengah) bersama beberapa syarikat muzzaki yang menyumbang bagi program infak ayam segar kepada fakir dan miskin sempena Aidilfitri di Masjid Sultanah Haminah pada Ahad.
Norizan (tengah) bersama beberapa syarikat muzzaki yang menyumbang bagi program infak ayam segar kepada fakir dan miskin sempena Aidilfitri di Masjid Sultanah Haminah pada Ahad.
A
A
A

PENDANG - Umat Islam di Kedah dinasihatkan supaya tidak bertangguh dalam urusan membayar zakat fitrah.

Pengerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Seri Norizan Khazali berkata, sebanyak RM12.65 juta kutipan zakat fitrah disasarkan pada tahun ini berbanding RM12.05 juta pada tahun lepas.

Ujarnya, daripada jumlah disasarkan itu, hampir RM1 juta kutipan zakat fitrah telah berjaya diperoleh setakat ini.

"Ada pagi raya (atau) petang dekat raya baru hendak bayar, jikalau boleh saya hendak menyeru lah pada semua supaya tidak membayar di saat akhir.

"Semua penduduk boleh membayar zakat fitrah lebih awal berbanding tahun-tahun sebelumnya. Memang hari akhir-akhir baru ramai (bayar)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Agihan Ayam Segar kepada fakir dan miskin sempena Aidilfitri di Masjid Sultanah Haminah di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman.

Norizan berkata, pembayaran zakat boleh dilakukan melalui pelbagai platform termasuklah melalui dalam talian (online) ataupun amil dilantik.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, LZNK yakin jumlah kutipan zakat fitrah di negeri ini akan meningkat dan mencapai sasaran ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Norizan memaklumkan, program agihan infak ayam segar kepada fakir dan miskin sempena Aidilfitri melalui platform Asnaf Care mula diperkenalkan pada 2021 sehingga kini.

"Syarikat Bismi sebagai syarikat pembayar zakat (muzakki) atau Sahabat Zakat Kedah sekali lagi menjadi pembekal agihan ayam segar kepada asnaf.

"Tahun ini, LZNK meneruskan program ini dengan memperuntukkan sebanyak RM49,980 dengan jumlah agihan ayam segar sebanyak 3,332 ekor antara 1.5 hingga 1.7 kilogram (kg)," katanya.

Beliau berkata, program itu memberi manfaat kepada 1,666 keluarga asnaf dengan setiap keluarga akan menerima dua ekor ayam segar sebelum Aidilfitri.

Jelasnya, ayam segar itu diagihkan kepada 30 asnaf di 50 masjid seluruh daerah Pendang dengan bantuan penolong amil.

"LZNK turut membuka peluang kepada orang ramai untuk menyumbang melalui skim ini sepanjang tahun.

"Sehingga kini beberapa syarikat muzakki juga menyumbang seperti 600 ekor ayam daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah, 400 ekor ayam daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan 300 ekor ayam daripada Kedah Medical Centre (KMC)," katanya.

Beliau berharap inisiatif itu dapat menggembirakan dan meringankan bebanan keluarga asnaf dalam persiapan akhir Ramadan dan menyambut Syawal.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28