Semua perlu beri komitmen selesai isu Tambak Johor - Hasni

Hasni. Foto Bernama
Hasni. Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Semua pihak perlu memberi komitmen dan kerjasama bagi mencari penyelesaian mengatasi isu kesesakan Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, perhatian serius diberikan terhadap Tambak Johor kerana dianggarkan seramai 350,000 individu termasuk pekerja dan pelancong menggunakan laluan tersebut setiap hari.

Hasni (dua dari kanan) mengacau bubur lambuk pada program Jelajah Seni Ramadan berbuka puasa di Masjid Pekan Parit Tengah, Benut pada petang Jumaat.
Hasni (dua dari kanan) mengacau bubur lambuk pada program Jelajah Seni Ramadan berbuka puasa di Masjid Pekan Parit Tengah, Benut pada petang Jumaat.

"Semua agensi yang terlibat dengan pengoperasian di Tambak Johor telah mengadakan banyak kali perbincangan bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan tidak seharusnya keputusan tersebut ‘ditinggalkan’ di bilik mesyuarat.

"Saya memahami kekecewaan yang dialami oleh Onn Hafiz kerana masalah yang sama berulang kembali, walaupun telah banyak diadakan perbincangan bersama-sama pihak berkenaan, namun tidak menemui jalan penyelesaian.

“Bukan bermaksud menuduh mana-mana pihak, tetapi semua perlu mempunyai komitmen dan tanggungjawab bagi sama-sama mencari jalan yang terbaik mengatasi isu tersebut,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri program Jelajah Seni Ramadan dan berbuka puasa di Masjid Pekan Parit Tengah, Benut pada petang Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berkata demikian ketika diminta mengulas pertelagahan yang sedang berlaku antara Onn Hafiz Ghazi dengan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semanjung Malaysia (KPISM) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Presiden KPISM, Ajeet Singh Gurbax Singh memuji usaha Onn Hafiz yang sering turun padang dan melawat Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri.

Bagaimanapun, katanya, Onn Hafiz juga perlu memberi tumpuan kepada isu rakyat khususnya melibatkan golongan B40.

Manakala terbaharu, Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin, menggesa sebarang teguran kepada penjawat awam perlu dibuat secara berhemah tanpa terlalu diuar-uarkan di media sosial.

Menurut Abdul Rahman, ia bagi mengelak timbul situasi sehingga tidak menggambarkan situasi sebenar.

Hasni yang juga Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) berkata, isu tersebut sepatutnya tidak berlaku kerana masing-masing mempunyai peranan dan lawatan Onn Hafiz memenuhi tugasnya sebagai Menteri Besar.

“Saya harap mana-mana pihak tidak memanjangkan lagi isu ini dan memberikan fokus bagi membantu kerajaan negeri Johor mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor,” ujar Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28