Piala Sultan Selangor buka lembaran baharu buat Stadium Merdeka

Stadium merdeka. Foto fail Bernama
Stadium merdeka. Foto fail Bernama
A
A
A

PENGANJURAN Piala Sultan Selangor (TSSC) 2024 pada Ogos depan disifatkan bakal membuka lembaran baharu buat stadium penuh bersejarah negara, Stadium Merdeka.

Pengerusi dan Pengurus Pasukan TSSC, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, kejohanan itu menjadi penganjuran acara sulung pada mercu tanda tersebut selepas ia ditutup bagi menjalani proses naik taraf pada 2016.

Beliau berkata, penganjuran Piala Sultan Selangor itu sendiri, umpama dihidupkan semula selepas acara tahunan tersebut tidak diadakan sejak 2020 berikutan pandemik COVID-19.

"Ini mencetuskan juga idea kepada semua lapisan masyarakat tentang imej Stadium Merdeka itu sendiri.

"Sejarah Stadium Merdeka yang lepas ni dicetus melalui Piala Sultan Selangor yang akan diadakan pada 17 Ogos.

"Ia adalah pemasaran yang baik untuk stadium itu sendiri.

"Kita juga menggalakkan penggunaan kenderaan awam sebab banyak pembinaan sedang berlaku di Stadium Merdeka dan tak akan tamat. Pihak Prasarana Malaysia Bhd juga bersetuju melanjutkan masa sehingga 12 tengah malam pada waktu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat dan Majlis Berbuka Puasa Jawatankuasa TSSC, di sini semalam yang turut dihadiri Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Artikel Berkaitan:

Stadium Merdeka yang menjadi mercu tanda penuh bersejarah tanah air, sebelum ini ditutup bagi kerja pemuliharaan dan penambahbaikan.

Proses baik pulih itu dijangka siap pada April atau Mei dan perkembangannya turut dipantau Permodalan Nasional Berhad (PNB) selaku pihak pengurusan stadium.

Stadium Merdeka dianggap sebagai keajaiban kejuruteraan Persekutuan Tanah Melayu apabila mula dibina pada 1956 dan siap dalam tempoh setahun.

Ia menjadi tuan rumah bagi detik paling bersejarah apabila Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Di samping penganjuran Piala Sultan Selangor yang dianggap ikonik - kejohanan yang dianjurkan sejak 2001 itu menjadi gelanggang aksi persahabatan bagi dua musuh tradisi Liga Malaysia era semi Pro, Selangor dan Singapura. - Bernama