Cahaya panjut lima beradik

Mohd Hafiz menyalakan api pada panjut buluh yang siap dipasang di keliling rumah mereka di Kampung Gunung Mesah Hulu dekat Gopeng.
Mohd Hafiz menyalakan api pada panjut buluh yang siap dipasang di keliling rumah mereka di Kampung Gunung Mesah Hulu dekat Gopeng.
A
A
A

GOPENG - Hikmah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lima tahun lalu membawa rezeki kepada lima bersaudara menerusi pembuatan panjut buluh setiap kali Ramadan menjelma.

Bermula hanya sekadar suka-suka, panjut diusahakan Mohd Noor Ashraf Mohd Nadzri, 27, bersama abang, Mohd Noor Amirul Mohd Nadzri, 29, dan ipar mereka, Mohd Hafiz Hashim, 34; Mohd Amini Idrus, 35; dan Nur Anis Farhah Zainal Abidin, 29, terus mendapat permintaan orang ramai hingga mampu meraih jualan puluhan ribu ringgit.

Pada awalnya panjut buluh tersebut dibuat bagi menghiasi rumah keluarga mereka di Kampung Gunung Mesah Hulu dekat sini.

Namun, apabila dikongsi di media sosial, orang ramai mula tertarik mahu mendapatkan panjut buluh dan membuat tempahan sehingga mendapat julukan 'panjut lima beradik'.

Dari kiri: Mohd Amini, Mohd Hafiz, Mohd Noor Amirul, Mohd Noor Ashraf dan Nur Anis Farhah membuktikan permuafakan sebagai adik beradik dan ipar duai dalam mengusakan pembuatan panjut buluh sehingga menerima julukan 'panjut lima beradik.
Dari kiri: Mohd Amini, Mohd Hafiz, Mohd Noor Amirul, Mohd Noor Ashraf dan Nur Anis Farhah membuktikan permuafakan sebagai adik beradik dan ipar duai dalam mengusakan pembuatan panjut buluh sehingga menerima julukan 'panjut lima beradik.

Menurut Mohd Noor Ashraf, pada 2020 tempahan diterima sekitar dalam negeri sahaja antaranya dari Kampar, Meru Raya dan Chemor.

"Masuk tahun kedua, kami dah mula terima tempahan dari luar negeri termasuklah Kelantan, Johor dan Perlis. Jualan pun ketika itu sudah melonjak tinggi mencecah 800 batang buluh.

"Alhamdulillah, masuk tahun kelima ini, tempahan masih tinggi. Orang ramai mempercayai hasil buatan panjut kami.

Artikel Berkaitan:

Kepingan aluminium dibuat sendiri menggunakan tin minuman terpakai, dipotong dan digulung sebelum dimasukkan sumbu.
Kepingan aluminium dibuat sendiri menggunakan tin minuman terpakai, dipotong dan digulung sebelum dimasukkan sumbu.

"Sebenarnya kami tak sangka boleh jadi satu sumber rezeki, pada awalnya hanyalah sekadar nak isi masa terluang kerana ketika itu PKP, semua ada di rumah tidak keluar bekerja," katanya.

Beliau berkata, pembuatan panjut buluh nampak seakan mudah, tetapi sebenarnya memerlukan penelitian dan kekemasan yang tinggi terutama dalam menata setiap ruas buluhnya.

Katanya, bermula dengan pemilihan pokok buluh yang sesuai, batang buluh itu kemudiannya perlu dicuci bersih dan dipotong dengan betul mengikut tempahan diterima.

Buluh yang siap dipotong kemudiannya akan ditebuk menggunakan mesin gerudi tangan untuk dijadikan lubang sumbu.
Buluh yang siap dipotong kemudiannya akan ditebuk menggunakan mesin gerudi tangan untuk dijadikan lubang sumbu.

Buluh yang siap dipotong kemudiannya akan ditebuk menggunakan mesin gerudi tangan untuk dijadikan lubang sumbu.

"Untuk mengekalkan ciri tradisionalnya, kami masih menggunakan tali dan kepingan aluminium untuk menghidupkan lampu pelita buluh ini.

"Kepingan aluminium ini kami buat sendiri menggunakan tin minuman terpakai, dipotong dan digulung sebelum dimasukkan sumbu.

"Dengan segala proses yang dilalui itu, tidak kurang 100 ke 150 batang panjut boleh disiapkan dalam masa satu hari. Jika banyak tempahan, kami berjagalah sampai jam 3 ke 4 pagi," katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, promosi 'panjut lima beradik' itu banyak dibuat melalui laman sosial di Facebook dan kebiasannya tempahan diterima sebulan sebelum Ramadan.

Ujarnya, panjut buluh tiga sumbu ketika ini dijual pada harga RM10, sementara empat sumbu (RM17), enam sumbu (RM20) dan lapan sumbu (RM23).

"Ada juga pelanggan yang nak 'custom made' panjut buluh ikut kehendak mereka. Itu pun kami terima.

"Pernah kami buat sehingga isian 25 sumbu, memang panjang tetapi berbaloi dan sangat cantik apabila dipasang keliling rumah," katanya sambil memaklumkan tempahan jauh akan dihantar menggunakan perkhidmatan kurier.

Mohd Amini menunjukkan cara pengisian minyak bagi nyalaan sumbu panjut buluh.
Mohd Amini menunjukkan cara pengisian minyak bagi nyalaan sumbu panjut buluh.

Sementara itu, Mohd Hafiz berkata, keakraban hubungan sebagai satu keluarga menjadi kunci utama pembuatan panjut buluh dapat diteruskan hingga kini.

Katanya, mereka yang bekerja sebagai kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu mempunyai peranan dan tugas masing-masing bagi memastikan kekemasan panjut dihasilkan.

"Saya sebagai ipar sulung buat proses menebuk lubang sumbu. (Mohd) Amini pula akan teruskan dengan lubang minyak.

"Untuk kaki panjut, tugas itu akan dilakukan (Mohd Noor) Amirul, dua orang lagi akan menyiapkan bahagian isian sumbu," katanya.

Beliau melihat, usaha yang mereka lakukan itu bukanlah meraih pendapatan sampingan semata-mata, tetapi lebih penting memastikan tradisi panjut buluh tidak terus menyepi dan dilupakan generasi masa kini terutama kalangan masyarakat Melayu.

"Suatu masa dulu, panjut buluh inilah yang jadi kebanggan nenek moyang kita dalam memeriahkan Aidilfitri. Harap usaha kecil kami ini membantu agar tradisi ini dapat diteruskan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!