Bazar Ramadan lebih meriah berbanding tahun lalu - Peniaga

Antara pengunjung terawal ke bazar Ramadan Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu.
Antara pengunjung terawal ke bazar Ramadan Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kunjungan orang ramai pada hari pertama bazar Ramadan di Terengganu pada Selasa disifatkan lebih meriah berbanding tahun lalu.

Tinjauan di Bazar Ramadan Dataran Shahbandar di sini mendapati orang ramai telah mula membanjiri bazar berkenaan seawal jam 3.30 petang dan jumlah pengunjung semakin meningkat sekitar jam 5 petang.

Pengunjung Bazar Ramadan Dataran Shahbandar memilih juadah untuk berbuka puasa.
Pengunjung Bazar Ramadan Dataran Shahbandar memilih juadah untuk berbuka puasa.

Menurut peniaga, Nur Zaihamima Abd Aziz, 34, kehadiran pelanggan pada tahun ini luar daripada kebiasaan kerana biasanya suasana agak suram pada hari pertama berpuasa.

Menurutnya, dia menjangkakan pengurusan tapak bazar turut memainkan peranan bagi menarik lebih ramai pelanggan ke lokasi berkenaan.

"Tahun ni sambutan lebih meriah berbanding tahun sudah sebab pengurusan tapak pun pengurusan baharu dan saya tengok kebanyakan yang menjual di sini peniaga baharu dan ini merupakan perkembangan yang baik.

"Kemeriahan bazar pada tahun ini juga mungkin disebabkan faktor jualan dan pengunjung pun lagi ramai sebenarnya. Meriah sebab mungkin jualan lagi banyak dan pelbagai," katanya yang telah tujuh tahun berniaga di bazar tersebut.

Sementara itu, seorang pekerja gerai jualan ayam bakar, Amirul Hakim Che Mohammad, 32, berkata, suasana pada tahun ini lebih meriah kerana pelanggan datang ke bazar itu lebih awal.

Artikel Berkaitan:

"Biasanya tahun lalu dah nak petang sangat baru lah bazar ini meriah dengan pelanggan. Tahun ini kita lihat suasana berbeza dan pelanggan datang lebih awal untuk dapatkan juadah berbuka," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Sementara itu, seorang pengunjung, Rosmayati Ismail, 48, berkata, dia teruja melihat ramai yang keluar ke bazar Ramadan lebih awal dan menganggap langkah itu diambil bagi mengurangkan kesesakan membeli juadah pada saat akhir.

"Memang ramai pengunjung ke bazar ini, cuma tak semua gerai telah beroperasi. Masih ada yang belum buka. Dari segi makanan pun bagus kerana terdapat banyak juga pilihan di sini.

"Mungkin ramai yang teruja pada hari pertama berpuasa menyebabkan bazar Ramadan di sini lebih meriah berbanding dulu," katanya.

Bazar Ramadan Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu menjadi tumpuan ramai untuk membeli juadah berbuka.
Bazar Ramadan Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu menjadi tumpuan ramai untuk membeli juadah berbuka.

Pada tahun ini, sebanyak 55 lokasi bazar Ramadan akan beroperasi di seluruh Terengganu melibatkan seramai 4,086 peniaga.

Daripada jumlah itu, sebanyak 12 tapak bazar akan beroperasi di Kuala Terengganu, Kuala Nerus (6), Kemaman (11), Dungun (5), Besut (8), Hulu Terengganu (4), Marang (5) dan Setiu (6).

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!